PERSAHABATAN terjalin antara anggota Rabbani sejak lebih 20 tahun lalu sudah seperti saudara kandung.
Mereka saling menyokong antara satu sama lain dan tiada langsung rasa iri di hati.
Disebabkan itu, selain memberikan sepenuh komitmen terhadap kumpulan, tiada halangan untuk mereka menceburi bidang perniagaan dalam usaha memantapkan ekonomi masing-masing.
Kekuatan ukhuwah Rabbani adalah asas yang dibentuk bekas penyanyi utamanya, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.
Segala pesanan yang disampaikan ketika hayat arwah terus tersemat di hati mereka sehingga kini.
Bulan ini, genap lapan tahun kematian arwah tetapi kenangan terhadapnya terus kekal bersemadi di hati.
Terbaru, atas dorongan kawan, Azadan Abdul Aziz yang sering menjadi jurucakap kumpulan itu akan tampil dengan single solo pertamanya berjudul Seindah Memberi.
Ia dicipta Fazli Fareast dan lirik oleh Ito Lara.
Menurut Azadan, kehadiran singlenya itu bukan untuk bersaing atau bertanding pada majlis anugerah tetapi lebih kepada kepuasannya sendiri sebagai anak seni.
“Saya sering diundang memberikan motivasi kepada pelajar sekolah dan pusat pengajian tinggi serta program kemanusiaan. Jadi, saya rasa lebih berseri jika ada selingan persembahan nyanyian daripada saya. Vokal saya tidaklah sehebat arwah Asri tetapi bolehlah sekadar hiburan.
“Tajuk lagu itu sudah menggambarkan pentingnya kita untuk ‘memberi’ dan berkongsi rezeki serta menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Menurutnya, lagu itu sebenarnya dirakamkan untuk projek Program Kembara Jiwa & Kemanusiaan Syria Care apabila Azadan bersama rombongannya akan berangkat ke Istanbul, Turki pada 31 Oktober hingga 11 November ini.
Rombongan itu akan turut disertai penyanyi popular Khai Bahar dan Ustaz Amirudin.
Antara pengisian program itu ialah bertemu dan meraikan anak yatim Syria di Istanbul.
“Secara dasarnya saya sudah berbincang dengan Khai supaya dia dapat membuat penampilan istimewa dalam lagu Seindah Memberi.
“Jika perbincangan itu berjalan lancar, saya akan merakamkan lagu itu dalam dua versi iaitu akan menyanyikan sepenuhnya dan versi satu lagi bersama Khai kerana dia boleh menjadi ikon kepada remaja hari ini kerana mempunyai ramai pengikut,” katanya.
Keinginan kuat untuk merakamkan single itu juga terbit apabila Azadan yang mengacarakan program Masakan Sunnah Nusantara selama dua musim yang bersiaran di Bernama TV perlu menyanyi secara santai bagi menambah keceriaan program itu.
Dalam pada itu, selain menyanyi, Azadan juga sibuk menguruskan restorannya Rabbani Lamb House yang menyediakan hidangan Arab serta pelbagai sajian lain.
Di restoran berkenan, Azadan turut mewujudkan sudut seni di premis perniagaannya itu dan setiap hujung minggu akan diadakan aktiviti kesenian dengan menjemput rakan artis mengadakan persembahan.