Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azam YB muda

    Oleh Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jan – Dua belia cemerlang yang melakar sejarah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang baru, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Ash’ari dan Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad berikrar akan menggunakan peluang yang diberikan untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin menyumbang bakti memajukan negara khususnya dalam meningkatkan taraf golongan belia di negara ini.

    Kedua-dua Yang Berhormat ketika dihubungi Media Permata menyatakan rasa terkejut dengan kepercayaan yang diberikan serta menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas kurnia pelantikan tersebut. Mereka juga berazam untuk menyuarakan cadangan dan harapan warga belia dalam arena pembangunan negara.

    Mereka merupakan antara 33 orang ahli MMN yang baru dilantik, berkuat kuasa hari ini.

    Yang Berhormat Dayang Khairunnisa, 29, pada masa ini sedang melanjutkan pengajian di King’s College London peringkat Sarjana dalam bidang Environment, Politics and Globalisation di bawah Chevening Scholarship.

    Beliau pada mulanya amat terkejut dan menyatakan perasaan gembira kerana dapat mewakili belia-belia serta dapat membanggakan keluarga.

    Ahli MMN yang baru dilantik terdiri daripada golongan belia, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa.
    Ahli MMN yang baru dilantik terdiri daripada golongan belia, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa.
     Yang Berhormat Awang Iswandy.
    Yang Berhormat Awang Iswandy.

    Dengan pelantikan itu, beliau berharap akan dapat menyuarakan cadangan dan isu-isu semasa bagi mewakili para belia-belia di negara ini serta dapat menunaikan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab.

    Selaku ahli MMN yang baru, beliau juga menyarankan kepada para belia-belia agar mencari peluang yang sentiasa ada di mana-mana dan menunjukkan golongan belia mampu berjaya dengan kegigihan serta kebolehan masing-masing.

    Yang Berhormat Dayang Khairunnisa merupakan seorang yang sangat aktif dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam kegiatan-kegiatan belia masa kini dan antara jawatan yang dipegangnya ialah Pengarah Green Brunei, Ketua Perhubungan Antarabangsa Majlis Belia Brunei (MBB) dan Pengarah Green Exchange dalam ‘Society for Community Outreach and Training’.

    Sementara di UK, beliau menjadi sukarelawan untuk Hammersmith & Fulham Urban Studies Centre dan AIDS Charity UK Trust.

    Sementara Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad, 32, ketika ditemu bual menyatakan rasa amat terkejut dan tidak menyangka beliau dilantik menjadi ahli MMN apatah lagi beliau menganggap dirinya masih lagi muda dalam membincangkan isu-isu mengenai negara.

    Beliau berharap pelantikan tersebut akan dapat menjadi suara wakil belia dalam pembangunan negara dan diharap para belia akan sama-sama menyampaikan hasrat dalam membangunkan negara, di dalam pelbagai bidang dan kepakaran masing-masing.

    Beliau juga berharap para belia tidak akan lupa identiti serta jati diri mereka sebagai ‘Orang Brunei’ yang penuh dengan nilai-nilai murni sesuai dengan Konsep MIB dan Negara Zikir.

    Yang Berhormat Awang Iswandy pada masa ini bekerja sebagai Penyelaras Alumni Universiti Brunei Darussalam dan baru menamatkan Pengajian Ijazah Sarjana Muda (sambil bekerja) di Kolej IGS pada tahun lepas.

    Beliau juga sangat aktif mengikuti persatuan/pertubuhan bukan kerajaan dan menjadi Yang Di-Pertua Majlis AIDS Brunei, ahli Persekutuan Lawan Pedang dan Sukarelawan di beberapa pergerakan lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda