Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azan dan iqamah bagi munfarid

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Sambungan dari minggu lepas

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Begitu juga munfarid tidak disunatkan mengeraskan suara ketika azan sekiranya di tempat seperti masjid dan sebagainya itu terdapat mereka yang sudah mengerjakan secara seorang diri sembahyang fardhu yang hendak dikerjakan oleh munfarid itu.

    Sebaliknya, apabila berada di masjid serta tempat-tempat lain yang sudah didirikan azan dan dikerjakan sembahyang padanya itu, munfarid disunatkan untuk tidak mengangkat suara ketika azan.

    Sebagai contoh, seseorang pergi ke masjid untuk menunaikan sembahyang fardhu Subuh.

    Ketika dia sampai ke masjid tersebut, azan Subuh sudah didirikan oleh muazzin masjid berkenaan dan sembahyang fardhu Subuh pun sudah dikerjakan secara berjemaah atau secara bersendirian oleh sebilangan jemaah.

    Maka dalam hal ini, sekiranya orang itu hendak mengerjakan sembahyang secara bersendirian, maka disunatkan ke atasnya azan tanpa mengangkat suara.

    Foto Canva

    Adapun sebab kenapa munfarid tidak disunatkan untuk mengangkat suara ketika mendirikan azan pada tempat dan keadaan seumpama ini ialah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan terhadap orang lain. Kekeliruan yang boleh timbul antaranya:

    (a) Dikhuatiri orang yang mendengarnya menyangka bahawa telah masuk waktu sembahyang yang berikutnya.

    (b) Dikhuatiri mereka boleh menyangka bahawa sembahyang yang telah mereka kerjakan sebelum itu tidak sah kerana dikerjakan sebelum masuk waktunya. Ini kerana mereka menyangka bahawa azan bagi sembahyang yang sudah selesai mereka kerjakan itu baru sahaja dilaungkan oleh munfarid tersebut.

    (ii) Sekiranya seseorang itu pergi ke masjid atau surau dan sebagainya yang sudah dilaungkan azan padanya, lalu dia hendak mengerjakan sembahyang seorang diri di tempat tersebut sedangkan ketika itu jemaah lain masih menunggu sembahyang didirikan secara berjemaah, maka tidak disunatkan atasnya untuk azan.

    Ini kerana azan yang sudah dilaungkan di tempat tersebut sebelum itu sudah memadai baginya.

    (iii) Begitu juga halnya sekiranya seseorang itu mendengar azan di suatu masjid atau surau contohnya, lalu disebabkan azan yang didengarnya itu dia pergi ke masjid atau surau tersebut untuk mendirikan sembahyang.

    Maka dalam hal ini dia tidak lagi dituntut untuk mendirikan azan walaupun dia mengerjakan sembahyang secara bersendirian kerana azan yang dilaungkan sebelum itu sudah memadai baginya. Ini kerana dengan menghadirkan diri ke masjid atau surau berkenaan, dia dikira telah menyahut seruan azan tersebut.

    Berbeza pula halnya jika dia pergi ke masjid atau surau itu bukan kerana menyahut seruan azan yang dilaungkan oleh muazzin di masjid atau surau berkenaan.

    Sebagai contoh, seseorang mengetahui bahawa sembahyang fardhu Maghrib sudah masuk waktunya kerana melihat matahari terbenam, lalu dia pergi ke suatu masjid untuk mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib secara bersendirian sedangkan dia sendiri tidak mendengar azan Maghrib yang dilaungkan sebelum itu di masjid tersebut. Maka dalam hal ini, sunat dia mendirikan azan.

    4. Azan Dan Iqamah Bagi Munfarid Yang Mengerjakan Sembahyang Qadha

    (i) Disunatkan iqamah ke atas munfarid yang hendak mengerjakan qadha sembahyang fardhu lima waktu kerana ia dianggap sebagai iftitah atau pembukaan bagi sembahyang.

    (ii) Berkenaan azan pula, terdapat perbezaan pendapat dalam mazhab asy-Syafi‘i di antara qaul qadim dan qaul jadid. Menurut qaul jadid, azan tidak dituntut ketika mengerjakan sembahyang qadha fardhu lima waktu kerana waktunya sudah berlalu. Sebaliknya menurut qaul qadim pula, azan tetap disunatkan bagi sembahyang qadha fardhu lima waktu.

    Bagaimanapun, jumhur ulama asy-Syafi‘i lebih cenderung untuk memilih qaul qadim iaitu sunat mendirikan azan ke atas mereka yang hendak mengerjakan sembahyang qadha fardhu lima waktu sama ada secara berjemaah atau secara bersendirian.

    Ini kerana menurut pendapat yang ashah, azan merupakan hak bagi sembahyang fardhu lima waktu, maka ia tetap disunatkan sama ada dikerjakan dalam waktu mahupun di luar waktu.

    Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu, katanya yang maksudnya: Kaum musyrikin telah mempersibukkan (mengganggu) Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada menunaikan empat sembahyang fardhu ketika peperangan khandaq sehinggalah berlalu – sebagaimana yang dikehendaki Allah – sebahagian waktu malam.

    Lantas Baginda mengarahkan Bilal (supaya mendirikan azan), lalu beliau pun melaungkan azan. Selepas itu, beliau mendirikan iqamah lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu Zuhur.

    Kemudian beliau mendirikan iqamah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu Asar. Kemudian beliau mendirikan iqamah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu Maghrib. Kemudian beliau mendirikan iqamah lagi lalu Baginda pun mengerjakan sembahyang fardhu ‘Isya’.

    (Hadits riwayat at-Tirmidzi, an-Nasa’i dan Ahmad)

    5. Azan Dan Iqamah Bagi Munfarid Perempuan

    (i) Berbeza dengan lelaki, orang perempuan tidak disunatkan azan sama ada bagi sembahyang secara bersendirian atau secara berjemaah di kalangan jemaah perempuan, sekalipun azan itu dilakukan dengan suara yang perlahan.

    Walaupun azan pada dasarnya tidak disunatkan atas perempuan, sekiranya perempuan itu azan untuk dirinya sendiri dalam kadar yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri, atau untuk jemaah sesama perempuan yang hanya dapat didengar dalam kalangan mereka, maka hukumnya tidak makruh bahkan adalah harus.

    Bagaimanapun, perempuan itu tidak mendapat pahala sunat kerana mendirikan azan. Akan tetapi, sekiranya dia mengangkat suaranya lebih daripada kadar tersebut, maka makruh hukumnya.

    Dalam perkara ini, disyaratkan ke atas perempuan itu untuk tidak meniatkan azan tersebut sebagai azan syar‘i. Ini kerana menurut syara‘, perempuan bukanlah ahli untuk mendirikan azan, maka dengan sendirinya azan yang didirikannya itu hanya sebagai zikrullah semata-mata. Jika dia meniatkannya sebagai azan syar‘i atau sebagai satu ibadah, maka hukumnya adalah haram.

    (ii) Berbeza halnya jika seorang perempuan azan untuk jemaah lelaki atau khuntsa.

    Menurut syara‘, tidak sah azan seorang perempuan bagi jemaah lelaki atau khuntsa, bahkan berdosa kerana lelaki dan khuntsa haram memandangnya. Ini kerana perbuatannya melaungkan azan itu boleh menyebabkan pandangan mereka tertumpu kepadanya. Perkara ini boleh berlaku kerana orang yang mendengar azan disunatkan untuk melihat orang yang azan. Tidak syak lagi perkara ini boleh menimbulkan fitnah. Di samping itu, azan dianggap sebagai tugas dan syi‘ar yang hanya khusus bagi lelaki semata-mata.

    Begitu juga sekiranya seorang perempuan meninggikan suaranya untuk azan di hadapan lelaki asing (ajnabi) yang bukan mahramnya, sekalipun ketika itu dia bersama mahramnya, maka haram hukumnya. Begitu juga haram jika perempuan itu meninggikan suaranya untuk azan di hadapan jemaah perempuan dengan adanya lelaki asing (ajnabi).

    (iii) Adapun iqamah pula adalah disunatkan bagi perempuan ketika sembahyang sendirian dalam kadar suara yang hanya dapat didengar oleh dirinya sahaja. Begitu juga seorang perempuan disunatkan mendirikan iqamah dalam jemaah yang didirikan sesama perempuan sahaja dengan suara yang rendah iaitu dalam kadar suara yang hanya dapat didengar oleh sesama mereka.

    Sebaliknya, sekiranya seorang perempuan iqamah bagi lelaki atau khuntsa, maka iqamah tersebut tidak sah.

    Secara ringkasnya, perempuan hanya boleh mendirikan iqamah untuk dirinya sendiri dan dia juga boleh mendirikan iqamah ke atas jemaah perempuan sahaja dengan suara yang rendah. Namun adalah ditegah seorang perempuan mendirikan, iqamah ke atas khuntsa atau ke atas jemaah lelaki.

    Demikian beberapa penjelasan mengenai hukum-hakam dan permasalahan azan dan iqamah bagi munfarid. Mudahan-mudahan penjelasan ini mampu menambahkan ilmu dan memantapkan amal kita terutama dalam perkara menunaikan dan memelihara tuntutan azan dan iqamah yang merupakan keistimewaan khusus umat Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda