Azarenka, Serena bakal bertembung

INDIAN WELLS, 7 Mac – Juara dua kali, Indian Wells, Victoria Azarenka mengetepikan permulaan perlahan untuk mengalahkan Vera Lapko 6-2, 6-3 semalam dan memastikan pertemuan pusingan kedua menentang pesaing lama, Serena Williams.

Azarenka, bekas pemain nombor satu dunia kini berada di ranking ke-48 dunia, berkata dia bermula dengan sedikit pasif dalam melepaskan dua permainan awal menentang rakan senegaranya dari Belarus, tetapi kembali bangkit untuk melengkapkan kemenangan dengan mudah.

Pemain itu tidak sabar untuk menentang pemain pilihan ke-10, Serena, yang sama seperti pemain pilihan yang lain dalam perlawanan gabungan WTA dan ATP Masters mencapai bye pusingan pertama.

Pemain dari Amerika Syarikat itu, telah memenangi 17 dari 21 pertemuan, tetapi Azarenka memenangi pertemuan kali terakhir mereka iaitu pada final Indian Wells, 2016.

“Sudah tentu ia akan menjadi perlawanan istimewa buat kami,” katanya mengenai pertembungan pertama mereka sejak kedua-duanya menjadi ibu.

Aksi Azarenka semasa menentang Vera Lapko pada pusingan pertama wanita di Indian Wells Tennis Garden, kelmarin. – AFP

“Kami memiliki sejarah besar, ia akan menjadi terlalu istimewa. Dia memberikan saya semangat, memberikan saya inspirasi dan menekan saya untuk menjadi lebih baik,” kata Azarenka mengenai Serena.

Perlawanan pembukaan daripada pemain wanita itu turut menyaksikan pemain remaja, Bianca Andreescu dan Amanda Ansimova mara ke pusingan kedua.

Andreescu dari Kanada, 18, mengekori dari ketinggalan satu set untuk menewaskan Irina-Camelia Begu dari Romania 6-7 (3/7), 6-3, 6-3.

“Bagi saya, penamat adalah yang paling penting, jadi saya berasa begitu gembira untuk mara,” kata Andreescu, menang 22 perlawanan musim ini termasuk perlawanan kelayakan dan undian utama.

Dia melonjak dengan baik dalam ranking, naik dari tangga ke-107 pada awal tahun ini kepada kedudukan ke-60.- AFP