LOS ANGELES, 8 Ogos – Bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka, yang beraksi buat kali pertama sejak terpaksa berehat pada perlawanan suku akhir di San Jose, memulakan saingan di Kejohanan WTA Montreal semalam dengan menewaskan Kristina Mladenovic dengan kedudukan set berturut-turut.
Azarenka menempah tiket ke pusingan kedua dengan mendominasi kemenangan 6-0, 6-1 dalam masa 55 minit ke atas bekas pemain nombor 10 dunia itu.
“Saya berasa lebih baik. Ia begitu teruk di San Jose untuk menghadapi perkara yang mengejutkan di bahagian belakang saya,” katanya.
“Saya berharap ia tidak begitu serius, tetapi kadangkala apabila anda berada dalam kedudukan itu dan mengalami spasma teruk, tiada apa yang boleh anda lakukan.
“Saya tidak banyak berlatih. Saya hanya mengadakan satu sesi latihan minggu ini.”

Azarenka, yang memerlukan wildcard untuk berada dalam undian Montreal, mara ke pusingan kedua di mana dia akan menghadapi pemain nombor satu Britain, Johanna Konta.
Azarenka mara menerusi sembilan permainan pertama dalam perlawanan itu sebelum Mladenovic dari Perancis memberikan persaingan.
Juara Terbuka Australia dua kali itu, Azarenka mara ke tiga permainan terakhir untuk mencatatkan kemenangan dalam kemunculan pertamanya di Montreal sejak 2014.
“Dalam perlawanan lain, Maria Sharapova dengan mudah menewaskan pemain kelayakan dari Bulgaria, Sesil Karatantcheva, dengan kedudukan 6-1, 6-2 dalam membaharui persaingan mereka.
“Tidak kira kejohanan apa atau siapa yang anda saingi, anda perlu menyelesaikannya ketika anda bersaing. Saya rasa saya melakukan tugasan yang bagus hari ini,” kata Sharapova. – AFP