Azarenka yakin raih gelaran Grand Slam

NEW YORK, 6 SEPT – Bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka percaya dia mempunyai peluang keemasan untuk menamatkan penantian tujuh tahun meraih gelaran Grand Slam buat kali ketiga di Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 31 tahun dari Belarus itu mara ke peringkat 16 terakhir selepas mencatat kemenangan selesa ke atas wakil Poland, Iga Swiatek.

Kemenangan 6-4, 6-2 Azarenka membolehkannya mara ke pusingan keempat berdepan pemain Republik Czech, Karolina Muchova yang juga pilihan ke-20.

Azarenka bakal beraksi berbekalkan keyakinan selepas meraih kemenangan secara berturut-turut termasuk ketika merangkul gelaran Terbuka Western and Southern minggu lalu.

Dia percaya momentum yang dilakar pada kejohanan berkenaan membantunya untuk beraksi cemerlang di Flushing Meadows.

Aksi Victoria Azarenka semasa mengembalikan pukulan kepada Anastasija Sevastova dari Latvia dalam pusingan ketiga kejohanan tenis Terbuka AS di New York. – AP

“Saya berasa seperti satu putaran pantas di kejohanan ini selepas berada di tempat yang sama, ia satu kelebihan buat saya.

“Saya bermain banyak perlawanan, ia membuatkan saya menjadi lebih baik dari semasa ke semasa. Saya berasa sangat gembira di mana saya sendiri boleh berasa peningkatan permainan.

“Saya banyak berlatih. Saya banyak mengasah permainan saya namun untuk menterjemahkannya saya harus bermain banyak perlawanan,” katanya.

Kali terakhir Azarenka meraih Grand Slam pada Terbuka Australia 2013, selepas dia mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Serena Williams berjaya memenangi aksi pusingan ketiga selepas mengalahkan rakan senegara Sloane Stephens 2-6, 6-2, 6-2. – AFP