Azfar Heri bolos Top 5 YouTuber Popular

Membesar dengan menonton Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) saban tahun, personaliti media sosial dan YouTuber, Azfar Heri tidak menyangka dia bolos sebagai Top 5 dalam kategori YouTuber Popular bagi edisi ke-34 acara anugerah ini.

Azfar atau nama penuh, Muhammad Azfar Herisyam bersaing dengan Alieff Irfan, Aqil Zulkiflee, Che Nom dan Cikidot Channel.

“Saya masih terkejut apabila mendapat tahu mara sebagai Top 5. Saya bersaing dengan YouTuber lain yang sangat hebat dan lebih berpengalaman.

“Ketika mula disenaraikan dalam calon awal, saya tidak sangka. Sudah ke tahap ini, saya percaya semua itu rezeki.

“Tercalon pun sudah kira cukup baik dan buat saya teruja.

Nama Azfar mula dikenali dalam IG dan Twitter kerana sering berkongsi video memasak, sebelum aktif dalam YouTube. – Agensi

“ABPBH ini acara yang saya sendiri membesar dengan menontonnya setiap tahun. Dulu tengok artis berentap sesama sendiri. Kali ini saya pun berentap sekali dengan YouTuber lain,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik ini sudah lama mewujudkan akaun YouTube.

“Pada mulanya, sekadar buka akaun sendiri sebab hendak tengok video yang dibuat orang lain. Saya mula mencuba memuat naik kandungan video sendiri pada 2018, tetapi terhenti kemudian.

“Dipendekkan cerita, nama saya tiba-tiba naik di Instagram (IG) dan Twitter kerana sering berkongsi video memasak.

“Dari situ, kebanyakan pengikut mencadangkan saya aktif di YouTube.

“Tidak berfikir panjang, saya aktifkan semula akaun YouTube pada Julai 2019. Saya teruskan minat memuat naik video memasak di platform berkenaan.

“Lagipun durasi video lebih panjang berbanding media sosial lain,” katanya. – Agensi