Azhan Rani tenang Frontliner dikritik

Terbuka apabila lakonan dikatakan tidak menjadi, pelakon Azhan Rani mengakui berdepan cabaran ketika menjayakan watak dalam filem terbaharunya Frontliner kerana terpaksa berpanas dalam pakaian perlindungan diri (PPE).

Malah Azhan, 45, yang membawakan watak sebagai seorang doktor turut akur dengan selera penonton selain dia tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak.

“Saya tak nafikan apa yang orang cakap, setiap lakonan mungkin ada orang suka dan tak suka.

“Cuma saya ambil positif kerana niat asal cerita tu untuk mengangkat tema semangat frontliners… kita hormat dan rasa terima kasih kepada mereka.

“Segala kelemahan tu saya mohon maaf dan mengakuinya. Saya memandang daripada sudut positif dan kalau kita tengok, ramai sahaja yang menerima dengan positif berbanding negatif,” katanya kepada wartawan.

Azhan Rani turut mengakui banyak kekurangan yang terpaksa dilalui ketika penggambaran filem Frontliner termasuk lokasi dan pakaian yang sepatutnya. – Agensi

Azhan berkata demikian bagi mengulas komen warganet yang mempersoalkan kualiti filem berkenaan yang dikatakan tidak memuaskan sama ada daripada kekuatan skrip dan watak pelakon.

Sementara itu, Azhan mengakui banyak kekurangan yang terpaksa dilalui ketika penggambaran filem berkenaan termasuk lokasi dan pakaian yang sepatutnya.

Bagaimanapun, pelakon drama Nur ini menganggap kesulitan yang dilalui sebagai satu cabaran untuk mereka menjayakan filem berkenaan.

“Masa penggambaran dilakukan, banyak benda yang terbatas dan kami tidak dimaklumkan ia akan ditayangkan untuk Netflix.

“Saya difahamkan banyak benda yang tak dapat… contohnya kami tak dapat hospital yang betul, polis dan askar bantuan yang betul. Sudahnya terpaksa buat baju polis sendiri.

“Banyak benda yang dirancang tak dapat, agensi kerajaan ketat dengan SOP,” ujarnya.

Filem arahan Razif Rashid itu mula ditayangkan sejak 30 September. – Agensi