Sunday, January 26, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azhar Osman buat comeback

    Empat tahun menyepi dari dunia muzik, penyanyi Azhar Osman kini tampil dengan lagu berjudul Ternyata dan menariknya karya tersebut mendapat sentuhan daripada komposer terkenal iaitu Farouk Roman.

    Mengakui sangat teruja, pemilik nama Mohd Azhar Osman ini berkata dia pada mulanya menyangka Farouk sekadar bergurau ketika memintanya untuk menyanyikan lagu tersebut.

    “Pada mulanya, saya ingat Farouk tawarkan saya untuk menyanyikan lagu runut bunyi ciptaannya itu sekadar gurauan.

    Namun, rupa-rupanya dia memang serius dan saya terus ambil keputusan untuk menerimanya.

    “Semestinya, saya berterima kasih dan berbesar hati atas kesudiannya memilih saya menyanyikan karyanya. Sebaik saya mendengar demo lagu yang diberikan kepada saya itu, ia serta-merta menangkap halwa telinga saya.

    “Melodinya terus menggambarkan bagaimana perjalanan lagu itu dan saya semestinya sangat teruja untuk mencabar diri bagi melunaskan tugasan lagu itu,” kata penyanyi
    berusia 33 tahun ini kepada media.

    Lagu Ternyata merupakan runut bunyi untuk drama Single Terlalu Lama arahan pelakon Ungku Ismail Aziz yang turut membintangi drama tersebut.

    Ungku Ismail turut bergandingan dengan barisan pelakon iaitu Riz Amin, Anas Ridzuan, Shah Kimin, Julia Farhana, Dayana Roza, Lia Natalia, Azar Azmi, Noorkhiriah, Zila Bakarin, Norman Hakim dan Uchee Fukada.

    Dalam pada itu, Azhar memberitahu biarpun berbesar hati dapat menyanyikan lagu runut bunyi namun ia tetap memberi sedikit tekanan kerana bimbang dengan sambutan para peminat lagu dan drama bagi single tersebut. – Agensi

    Azhar Osman tampil dengan lagu berjudul Ternyata selepas empat tahun menyepi dari dunia muzik. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda