Tuesday, April 22, 2025
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Azimat untuk tambat kasih

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Okt 2003 – Pusat Dakwah lslamiah mengesan 50 kes membabitkan barang-barang azimat seperti ‘pendinding diri’, pemikat sukma, ubat guna-guna, penunduk dan minyak pengasih.

    Semua barangan Itu dirampas melalui pos kawalan termasuk balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa, Pos Kawalan Sungai Tujuh dan Pejabat Pos.

    Dalam temu bual Media Permata dengan Ketua Bahagian Penapisan dan Pameran Pusat Dakwah Islamiah, Dayang Hajah Rashidah binti Haji Muhd Hanifah, beliau berkata azimat yang didakwa boleh melindung diri dan bermanfaat mestilah dijauhi kerana lebih baik seseorang itu mengamalkan ayat-ayat suci Al-Quran.

    Jika seseorang itu percaya pada sesuatu benda yang memberi kuasa atau memberi manfaat kepadanya itu boleh membawa kepada syirik, katanya.

    Beliau melahirkan perasaan terkilan kerana benda seperti itu kebanyakannya digunakan oleh orang Islam sendiri yang seharusnya mengetahui hukum dan akibat mempercayainya.

    Dayang Hajah Rashidah seterusnya menasihatkan umat Islam di negara ini jangan terpedaya dengan azimat yang boleh memesongkan akidah dan keimanan kepada Allah yang sering berlaku.

    Sejak Januari hingga Ogos tahun 2003 Unit Penapisan dan Pameran membuat pemeriksaan ke atas 120 barang dan menahan sebanyak 78 barang sementara 124 barangan lagi ditahan melalui pemeriksaan di pos kawalan di samping 287 majalah dan surat khabar yang tidak diluluskan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda