Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Aziz Harun mahu lebarkan sayap ke Indonesia

    Perjalanan kerjaya penyanyi kelahiran Brunei Darussalam, Aziz Harun, 23, masih utuh, biarpun sekejap timbul dan tenggelam selepas menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan di University of East Anglia, United Kingdom (UK) selama dua tahun.

    Masih memiliki pengaruh luar biasa dan lagu nyanyiannya meraih jutaan tontonan dalam laman YouTube, nyata Aziz tidak meninggalkan bidang muzik yang disukai, biarpun sibuk dengan pengajian dan baru menamatkannya, tahun lalu.

    Mengubat kerinduan peminat dan enggan terus membuang masa, Aziz tampil dengan single baharu berjudul Hanya Mahukan Bye ciptaan komposer Romeo, Mike Chan dan Faizal Tahir di bawah label Faithful Music.

    Namun, single Hanya Mahukan Bye dianggap unik dan mempamerkan transisi Aziz lebih matang dalam nyanyian.

    Hanya Mahukan Bye adalah single pertama yang berbeza secara total daripada segi genre, konsep, muzik dan sebagainya.

    Aziz Harun tampil dengan single baharu berjudul Hanya Mahukan Bye. – Agensi

    “Walaupun pada awalnya karya ini ditulis mengikut kemampuan dan genre biasa dibawakan seperti elemen akustik, piano dan gitar, tetapi saya fikir sudah tiba masa untuk keluar dari zon selesa.

    “Jadi, Mike Chan menampilkan konsep muzik elektronik dan saya begitu terkejut mendengarnya. Selepas beberapa hari mendengar susunan muzik, nyata ia sangat istimewa.

    “Ini disebabkan ada elemen muzik elektronik yang saya sendiri tidak pernah diterokai sebelum ini. Malah, dalam single ini, tiada langsung elemen bunyi gitar atau piano yang sebati dalam karya saya,” katanya kepada media.

    Penyanyi yang pernah mengukir nama menerusi lagu Senyum dan Beautiful itu berkata, mesej disampaikan dalam single Hanya Mahukan Bye berbeza dan agak toksik apabila mengetengahkan kisah lelaki yang tidak mahu berubah, suka mempermainkan hati wanita sehingga termakan kata pujian diungkapkan.

    Selain menyifatkan single Hanya Mahukan Bye sebagai karya yang ‘dark’ dan matang, Aziz berkata, dia berdepan kesukaran ketika menjalani pro- ses rakaman.

    Juara program Bintang Kecil pada 2009 itu berkata, dia tidak sangka perjalanan dunia seni selama lapan tahun masih dapat bertahan sehingga hari ini.

    “Ada banyak karya baharu yang ingin diterokai dan diberikan kepada peminat. Saya gembira apabila melihat industri muzik di Malaysia semakin berkembang dengan kehadiran pendatang baharu.

    “Saya percaya inilah waktu terbaik untuk saya terbit dan tulis lebih banyak karya baharu.

    “Saya berharap dapat menembusi pasaran luar negara. Buat permulaan, saya mahu tembusi pasaran Indonesia.

    “Bagi saya, dunia hari ini semakin kecil, lebih lagi media sosial dan banyak platform digital semakin membangun. Ramai penyanyi mudah mendapat peluang memperkenalkan karya di seluruh dunia dengan pantas.

    “Sebagai contoh, penyanyi dari Indonesia, Pamungkas yang juga idola saya berjaya menembusi pasaran Filipina ketika ini. Jadi, saya juga punya impian dan misi untuk mengembangkan kerjaya muzik agar dapat didengari peminat seluruh dunia,” katanya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...