Azizulhasni Awang layak menang emas – Josiah

KUALA LUMPUR, 9 OGOS – Bekas pelumba berbasikal Malaysia Josiah Ng, percaya Datuk Mohd Azizulhasni Awang berada dalam prestasi terbaik untuk memenangi emas Olimpik Tokyo 2020 di Veledrom Izu di Shizuoka, Jepun, semalam.

Namun demikian, agak malang untuk pelumba berusia 33 tahun dari Dungun itu tersekat dalam kumpulan dan tidak dapat mengejar Jason Kenny dari Great Britain yang bijak untuk memanfaatkan taktik ‘senko’ (pecutan awal), dengan memecut awal untuk memenangi perlumbaan itu.

“Azizul boleh menang emas, beliau berkeupayaan penuh ketika perlumbaan, namun agak malang bagi kita. Kenny amat menakjubkan, ia bukan satu taktik yang mudah, tetapi dia telah membuktikan yang dia seorang yang terbaik, seorang legenda sebenar,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Pelumba Australia Matthew Glaetzer yang dilihat tidak berusaha untuk mengejar pemecahan sendirian pelumba Britain itu dan secara tidak langsung menyumbang kepada kemenangan pingat emas, dianggap sebagai ‘jahat’ dan menjadi mangsa kepada kecaman netizen yang menyerang akaun sosial medianya.

Bagaimanpun, Josiah yang bertanding dalam tiga Olimpik bermula di Olimpik Athens 2004, mempunyai pandangannya tersendiri terhadap bekas pencabarnya Matthew.

“Matthew adalah seorang yang baik, tetapi bukan seorang yang bijak dalam perlumbaan. Saya tidak rasa ia satu taktik yang telah dirancangkan, ia mungkin hanya berlaku sewaktu perlumbaan barlangsung,” kata Josiah mengenai Matthew yang merupakan bekas juara Dunia dan Sukan Commonwealth. – Bernama

Mohd Azizulhasni Awang dari pasukan Malaysia bergambar dengan pingat peraknya untuk perlumbaan keirin lelaki di Olimpik Tokyo pada 8 Ogos lalu. – AP