Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Azizulhasni, Cheong Min olahragawan dan olahragawati kebangsaan

    KUALA LUMPUR, 23 MAC – Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan atlet wushu kebangsaan Tan Cheong Min, masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020, malam ini.

    Anugerah diraih Mohd Azizulhasni yang mencipta sensasi merangkul pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, merupakan kali keempat selepas turut dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada 2009, 2010 dan 2017.

    Beliau yang diberi julukan ‘The Pocket Rocketman’ berjaya mencipta beberapa kejayaan membanggakan sepanjang 2019-2020, antaranya memenangi dua pingat gangsa masing-masing dalam acara pecut dan keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI 2020 di Berlin, Jerman.

    Mohd Azizulhasni mengetepikan cabaran beberapa atlet yang turut disenarai pendek iaitu atlet bina badan Mohd Syahrul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Timmy Tan (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

    Sementara itu, kejayaan mengharumkan nama Malaysia menerusi pingat emas acara Nandao dan pingat perak (Nanquan) pada Kejohanan Wushu Dunia 2019, menyaksikan Cheong Min dipilih sebagai Olahragawati Kebangsaan.

    Atlet berusia 24 tahun itu mencipta sejarah menerusi pencapaian tersebut, apabila menjadi atlet wushu wanita pertama dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan.

    Beliau mengetepikan empat lagi calon pilihan, ratu terjun Datuk Pandelela Rinong Pamg, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

    Mohd Azizulhasni dan Cheong Min masing-masing menerima trofi, blazer dan wang tunai RM20,000.

    Majlis gilang gemilang tersebut diadakan di sebuah bangunan hotel yang memiliki nilai warisan dan sejarah di sini itu, diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – Bernama

    Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan Anugerah Olahragawati Kebangsaan kepada atlet negara wushu Tan Cheong Min pada Majlis Anugerah Sukan Negara di sebuah hotel kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...