Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Azizulhasni mampu lakar sejarah Olimpik Paris 2024

    KUALA LUMPUR, 9 MAC – Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dilihat mampu melakar sejarah untuk menamatkan penantian pingat emas negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

    Keyakinan itu disuarakan bekas Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad, yang melihat kepada pengalaman lagenda Great Britain Chris Hoy, yang pernah menggondol emas meskipun sudah berusia 36 tahun di Olimpik London 2012.

    Beliau berkata prestasi The Pocket Rocketman itu yang kini berusia 35 tahun, dilihat memberangsangkan selain faktor kesungguhan yang dipamerkan, mampu membantunya melakar kemenangan dalam acara kegemarannya, keirin.

    “Saya percaya kita ada harapan tinggi, Azizul dapat catat sejarah memenangi pingat emas berbasikal keirin Olimpik sebelum bersara.

    “Selepas menjalani pembedahan dengan jayanya, beliau kembali bergiat cergas. Saya yakin dan percaya kalau ada rezeki, beliau akan dapat pingat emas pertama kita di Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran pelan laluan acara kayuhan OCBC Kuala Lumpur 2023 hari ini.

    Pada 26 Februari, pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu berjaya meraih pingat perak acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Jakarta, Indonesia.

    Kejayaan itu membuktikan beliau masih berbisa, memandangkan beliau baharu kembali berkayuh kurang 12 bulan selepas menjalani pembedahan jantung.

    Beliau bagaimanapun gagal memperoleh pingat berganda dalam acara pecut, apabila terkandas di suku akhir akibat kepenatan. – Bernama

    Jaguh berbasikal trek Malaysia, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dilihat mampu melakar sejarah di Olimpik Paris 2024. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...