Azizulhasni terlepas acara pecut di Brisbane

SEPANG, 15 DIS – Jaguh berbasikal trek Malaysia Mohd Azizulhasni Awang tidak akan beraksi dalam acara pecut individu pada Kejohanan Berbasikal Trek Piala Dunia di Brisbane, Australia.

Pelumba berusia 31 tahun itu berkata walaupun tidak mengalami kecederaan serius, namun kecederaan di bahu kanan menyebabkan pergerakan beliau agak terbatas.

“Syukur Alhamdulillah daripada imbasan x-ray yang dibuat semalam, tidak ada keretakan dan kecederaan berat lain. Cuma terdapat banyak kesan kulit hangus di seluruh badan dan konkusi di kepala dan bahu kanan.

“Paling azab adalah di bahu kanan ini di mana terdapat bengkak di pertemuan Acromioclavicular mungkin hasil hentakkan ketika jatuh atau dilanggar oleh pelumba lain. Kecederaan ini menyebabkan pergerakan saya amat terbatas dan oleh itu saya terpaksa direhatkan untuk acara Sprint Perseorangan pada hari ini,” katanya dalam laman Facebooknya hari ini.

Posting berkenaan dimuat naik bagi memaklumkan perkembangan terkini The Pocket Rocketman yang terlibat dalam pelanggaran ketika perlumbaan acara keirin di Velodrom Anna Meares semalam. Kemalangan tercetus apabila pelumba Jepun Tomoyuki Kawabata melakukan pancungan sebaik sahaja loceng dibunyikan yang mengakibatkan beliau dan pelumba Poland Krzysztov Maksel terhimpit sebelum terjatuh bersama pelumba lain.

“Terima kasih sekali lagi kepada semua yang sentiasa mendoakan diri saya, semoga kecederaan ini akan pulih dengan kadar segera dan saya dapat membuat persiapan untuk Kejohanan Dunia di Berlin pada akhir Februari nanti (tahun hadapan),” kata-nya. – Bernama