Biarpun negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih mudah, namun vokalis Azlan & Typewriter, Nor Azlan Rosle Sallehudin atau Azlan Typewriter memilih untuk mengambil langkah berjaga-jaga.
Menurut Azlan, 39, meskipun kes COVID semakin menurun, dia enggan mengambil risiko kesihatan dengan mengadakan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri.
Jelas penyanyi Jangan Khianati Aku itu, dia lebih selesa untuk terus menjaga diri dengan mengamalkan kesederhanaan dalam kebebasan, walaupun tiada sekatan dikenakan untuk melakukan ziarah mahupun rumah terbuka.
“Saya rasa cukuplah jika kami beraya di rumah keluarga saja. Jika buat rumah terbuka, nanti bila ramai-ramai datang, entah apa boleh jadi.
“Bagi saya, apabila kita diberikan kebebasan, biarlah bersederhana, cukup dengan beraya di rumah keluarga saja.
“Sederhana dalam kebebasan lebih baik,” katanya yang menyambut Aidilfitri di Kota Tinggi, Johor minggu lalu.
Azlan sebelum ini pernah kehilangan bapa, Sallehudin Che Ani yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID pada Ramadan tahun lalu. Biarpun sudah setahun, namun ‘kesakitan’ kehilangan insan tersayang itu masih dirasai.
“Walaupun hubungan kami tidak rapat kerana arwah tidak menjaga saya sejak kecil, tetapi saya tidak wujud tanpa beliau. – Agensi
