Azlan Typewriter patah kaki kiri, tergelincir semasa hiking

Malang tidak berbau. Penyanyi Azlan Typewriter berdepan insiden mencemaskan apabila terjatuh hingga patah kaki kiri semasa menyertai aktiviti mendaki di sebuah bukit di Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Cerita Azlan atau nama sebenar Nor Azlan Rosle Sallehudin, 39, semasa kejadian dia bersama lima sahabatnya sedang menuruni bukit berkenaan, namun tanah licin menyebabkan kakinya terkehel hingga hilang imbangan. “Kejadian berlaku dalam pukul 1 tengah hari.

“Semasa itu saya dan rakan-rakan lain sedang turun dari bukit berkenaan… mungkin tanah di situ licin dengan bukit agak menjunam menyebabkan saya hilang imbangan lalu terjatuh sampai ke bawah.

“Memang kuat bunyi masa jatuh tu terasa sakit sungguh, tengok kaki dah bengkak dan saya syak tulang patah. Dalam keadaan kaki yang amat sakit, saya gagahkan diri naik semula ke laluan pendakian.

“Selepas itu saya terus di bawa ke Hospital Kajang. Doktor maklumkan terdapat tulang patah pada pergelangan kaki,” katanya kepada dihubungi wartawan.

Sementara itu, penyanyi lagu Jangan Khianati Aku ini memberitahu dia berkemungkinan perlu menjalani pembedahan penyambungan tulang menggunakan implan bagi memulihkan kembali struktur tulang yang terjejas.

Bagaimanapun, dia masih lagi memikirkan mengenai rawatan itu memandangkan keadaan kakinya masih sakit dan tidak boleh digerakkan seperti biasa.

“Doktor minta saya ke hospital semula dalam masa terdekat. Doktor ada bagi cadangan lakukan pembedahan kecil pada bahagian tulang itu tapi sejujurnya kalau boleh saya tak mahu.

“Sekarang ni makan ubat yang doktor beri sahaja dan rehat di rumah dulu. Nak betul-betul pulih mungkin ambil masa berbulan juga ni tapi benda dah nak jadi nak buat macam mana.

“Nasihat saya kepada mereka di luar sana yang suka aktiviti hiking… dalam keadaan cuaca tak menentu, hujan macam ni tak payahlah pergi hiking,” tambahnya. – Agensi

Azlan Typewriterberkata dia terjatuh hingga patah kaki kiri semasa menyertai aktiviti mendaki di sebuah bukit di Semenyih, baru-baru ini. – Agensi