Komen ditinggalkan pelakon Azlee Khairi pada status yang dimuat naik oleh Zara Zya di Instagram (IG) membuatkan peminat teruja melihat hero dan heroin drama Seadanya Aku ini, bercinta di dunia nyata.
Spekulasi tercetus tiga hari yang lalu, apabila Zara yang sebelum ini putus tunang dengan Hafreez Adam, memuat naik foto dengan keterangan berbunyi:
“Kalau diberi pilihan, apa yang awak nak sangat dalam hidup awak?’
Entri itu kemudian mendapat perhatian Azlee yang meninggalkan komen ‘nak hidup dengan awak di luar lokasi’.
Kenyataan Azlee itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan peminat hingga lebih 4,000 tanda ‘like’ dengan lebih 300 komen dilihat pada entri berkenaan.

Komen balasan Zara yang menyebut gandingannya dalam drama Seadanya Aku siaran TV3 itu ‘demam’ gara-gara kenyataan dibuat, bagai menyerlahkan kemesraan mereka.
Namun, rata-rata peminat menyokong dan mendoakan pasangan itu yang mula digandingkan dalam drama Love You Mr Arrogant, benar-benar ‘disatukan’ di luar set.
Namun, ada netizen mempersoalkan status Azlee yang sudah berkahwin.
Azlee yang memenangi trofi Pelakon Drama Lelaki Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2014 pernah mendedahkan dirinya masih suami orang, ketika mengulas gosip rumah tangga dengan wanita berasal dari Brunei Darussalam, musnah.
Dalam kenyataannya kepada media, November lalu, Azlee dilaporkan berkata, dia dan isteri terpaksa berjauhan selepas membuat keputusan untuk kembali aktif dalam dunia lakonan. – Agensi




























