Azlee Senario kini berniaga buah

“Alhamdulillah, sambutan pengunjung selepas gambar saya berniaga tular amat menggalakkan. Tapak niaga di Saujana Utama ini pun turut jadi popular. Secara tak langsung ia dapat bantu rakan-rakan lain yang meniaga,” kata pelawak Azlee Senario mengenai perniagaan buah-buahan dan hasil laut yang diusahakannya sejak beberapa bulan lalu.

Azlee, 54, atau nama sebenarnya Azlee Jaafar berkata, dia mula berniaga buah-buahan dan hasil laut seperti ikan, ketam, kupang, kerang, lala dan siput sedut di tapak pasar malam di Saujana Utama, Sungai Buloh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan lalu.

“PKP kali ini memang agak terkesan kerana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum bagi arahan untuk menjalani penggambaran.

“Jadi saya buat keputusan berniaga untuk cari pendapatan bagi menampung keluarga. Alhamdulillah sejak gambar saya berniaga tular, sambutannya amat menggalakkan. Saya berterima kasih kepada pihak media kerana membantu,” katanya kepada Harian Metro.

Azlee berkata, ada peminat yang selain datang mengambil gambar, turut membeli barangan jualannya. “Sebenarnya mereka lebih suka tengok kita bercampur dengan golongan masyarakat menerusi berniaga. Maknanya artis dapat merapatkan lagi hubungan dengan peminat.

“Walaupun nama besar atau sebaliknya, saya letak tepi. Yang penting saya cari rezeki halal. Kalau duduk rumah nak tunggu tawaran kerja, takkan ada buat masa ini. Lebih baik saya ambil inisiatif berniaga, sekurang-kurangnya kita dapat beli barang-barang dapur dan bagi makan anak isteri,” katanya yang mengambil barangan jualannya daripada pemborong di Chow Kit.

Azlee mula berniaga seawal jam 8:30 pagi dan akan pulang selepas barangannya habis dijual.

“Paling lewat saya balik pada jam 5 petang. Kalau dah boleh mula menjalani penggambaran, saya dah boleh buat kerja saya dan ada pekerja akan uruskan. Sayang pula nak tinggalkan,” katanya. – Agensi

Azlee Senario mengenai perniagaan buah-buahan dan hasil laut yang diusahakannya sejak beberapa bulan lalu. – Agensi