Azlee Senario seronok ikut Ebit Lew beri sumbangan

Terbuka hati untuk mengikut personaliti dakwah Ebit Lew melakukan kerja amal, pelawak Azlee Senario mengakui jiwanya kini berasa lebih tenang.

Azlee atau nama sebenar Azlee Jaafar, 54, ini berkata, pengalaman selama beberapa hari mengikut Ebit Lew berdakwah memberi kesedaran kepada dirinya sendiri.

“Selepas Ustaz Ebit datang ke gerai buah saya bulan lalu, saya berpeluang mengikuti dia melakukan kerja-kerja amal kebajikan selama tiga hari.

“Dalam pada kita membantu orang susah, kita juga dapat ke-sedaran dan secara tak langsung belajar juga tentang agama. Tidak dinafikan perasaan dan hati saya berasa tenang sepanjang melakukan kerja-kerja ibadah seperti itu,” katanya kepada wartawan.

Terdahulu, Ebit menerusi Instagram miliknya memberitahu ahli kumpulan Senario itu seorang yang baik hati dan sentiasa menceriakan orang sekelilingnya sepanjang misi bantuan yang dijalankan itu.

Azlee Senario mengakui hatinya lebih tenang selepas melakukan kerja amal bersama Ustaz Ebit Lew. – Agensi

Kata Ebit, Azlee juga meluahkan hasrat untuk terus mengikuti misi bantuan yang dilaksanakannya.

“Abang Azlee sangat baik, dua kali bersama saya dalam misi membantu dan belajar iman. Dia ceriakan orang kampung dengan nasihat yang baik.

“Balik sahaja selepas beberapa hari, abang Azlee kata rindu betul dengan ustaz dan jemaah. Rasa nak ikut sentiasa kerja ini. Tenang ya ustaz buat kerja begini, sejuk hati, bahagia, terasa banyak tanggungjawab kita” tulis Ebit.

Sementara itu, Azlee mengakui dia semakin seronok dalam mendekatkan diri dan belajar lebih mendalam tentang agama Islam. Katanya, dia juga melihat pandemik Covid-19 yang berlaku memberi hikmah tersendiri dan mempunyai nikmat kepada menjalaninya dengan ikhlas.

“Insya Allah kalau ada ruang dan peluang saya sentiasa ingin belajar dan memperjuangkan agama Allah. Saya juga sedar ada hikmah yang kita dapat di sebalik pandemik Covid-19 ini,” ujarnya. – Agensi