Azman Shafriman CEO baharu SIC

KUALA LUMPUR, 8 APRIL – Bekas Ketua Perikatan Strategik, Jabatan Penjenamaan Petronas Azhan Shafriman Hanif dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif  baharu Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkuat kuasa hari ini.

SIC dalam kenyataan hari ini berkata Azhan Shafriman menggantikan Datuk Razlan Razali yang telah diberi tanggungjawab penuh sebagai prinsipal Pasukan Perlumbaan Petronas Sepang.

Berhubung pelantikannya,  Azhan Shafriman yang merupakan jurutera mekanikal terlatih, pengkhususan dalam bidang pembuatan dan sains bahan, mengucapkan terima kasih kepada pengurusan SIC bagi peranan baharunya itu dan beliau percaya beliau mampu membawa nama SIC ke tahap lebih cemerlang.

“Dengan dunia sedang berdepan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh pandemik COVID-19, mempunyai asas kukuh dalam pengkomersilan permotoran  akan menjadi titik permulaan baik bagi khidmat saya dengan SIC, tatkala saya mendapatkan aspek dan pengetahuan lebih baik tentang operasinya.

“Namun, dengan peranan saya sebelum ini di Petronas, saya berpeluang memberikan maklum balas kepada SIC mengenai fasiliti dan kemudahan – sekali gus menawarkan satu lagi asas penting untuk saya di SIC tatkala saya menyesuaikan diri dalam menjalankan peranan sebagai CEO,” kata Azhan Shafriman.

Berpengalaman 13 tahun dalam peranannya sebelum ini,  Azhan Shafriman berkata beliau berhasrat untuk bekerja dengan pasukan bagi menangani kelemahan perniagaan untuk jangka pendek, merancang strategi untuk masa depan di tengah-tengah keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

Untuk jangka sederhana, objektif utamanya adalah untuk memberi tumpuan terhadap kecemerlangan operasi, kawalan tadbir urus dan proses,  dengan usaha berterusan dan perkongsian baharu menjadi tumpuan untuk jangka panjang. – Bernama