KALI terakhir muncul sebagai pelakon menerusi filem Puteri Gunung Ledang pada 2004, Azmil Mustapha kini tidak mempunyai hasrat lagi melibatkan diri dalam bidang lakonan, namun mempunyai syarat tertentu jika menerima tawaran.
Bertemu dengan pelakon yang cukup popular menerusi filem Ali Setan itu di Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam Selangor baru-baru ini, beliau berkongsi cerita tentang tawaran mahal yang pernah diterimanya sekitar dua tahun lalu.
Untuk hanya komitmen lakonan sebuah drama dalam masa sehari, dia pernah ditawarkan bayaran sebanyak RM10,000.
“Tawaran berlakon memang ada, cuma saya tidak berminat untuk terlibat memandangkan sudah tidak lagi aktif sebagai pelakon. Pernah sekali saya didatangi tawaran dengan bayaran sebanyak RM10,000 untuk sehari berlakon drama.
“Apabila ditawarkan wang sebanyak itu, saya pun minta dinaikan harga ke angka RM100,000. Terus pengarah tersebut mengalah untuk mengambil saya berlakon,” cerita Azmil.

Ditanya secara serius tidakkah terdetik kerinduan di hati beliau untuk kembali ke bidang seni, Azmil sudah bulat hati dan mempunyai alasan teguh dengan keputusan yang telah dibuat.
“Saya masih lagi menyanyi tetapi bukan untuk tontonan umum. Saya menyanyi dan bermain muzik di rumah bersama keluarga. Hidup saya sekarang bukan lagi macam dahulu dan saya bahagia dengan cara hidup sekarang.
“Saya langsung tidak rindu untuk berlakon. Tetapi kalau ada tawaran yang bersesuaian dengan imej saya sekarang, mungkin saya akan pertimbangkan. Saya lebih berminat untuk melibatkan diri dalam projek dokumentari.
“Nak berlakon drama, saya risau apa yang akan berlaku di belakang tabir walaupun drama yang bercorak keislaman. Kalau mahu betul bikin drama mempromosi Islam, buatlah bersungguh-sungguh,” getusnya.
































