Azmin: Pemulihan ekonomi dilihat suku kedua

NIBONG TEBAL, 17 JUN – Kerajaan perlu menunggu data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2021 sebelum memutuskan sama ada akan menyemak sasaran pertumbuhan 6.0 hingga 7.5 peratus tahun ini, walaupun ekonomi menunjukkan tanda-tanda pemulihan dalam tempoh suku semasa.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan sedang meneliti prestasi suku kedua memandangkan sekatan pergerakan penuh memberi kesan ke atas ekonomi.

“Bagaimanapun, keputusan sekatan pergerakan penuh itu merupakan satu tindakan yang perlu kerajaan laksanakan untuk memastikan kerajaan terus mampu melindungi rakyat. Kita tidak akan kompromi soal hidup dan nyawa rakyat walaupun tindakan kita memberi kesan negatif ke atas ekonomi.

“Tahun ini, kita melihat tanda-tanda pemulihan berlaku pada suku kedua dengan prestasi perdagangan dan pelaburan langsung asing mencatatkan aliran masuk, menunjukkan tahap keyakinan pelabur asing, justeru mereka akan terus melabur di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kluster Vaksinasi Kawasan Perindustrian Batu Kawan di sini, pada hari ini. – Bernama

Datuk Mohamed Azmin Ali mengadakan sidang akhbar selepas melawat Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta di Pusat Pemberian Vaksin Golf Jawi Resort kelmarin. – Bernama