Azpi pula tepis kritikan Mourinho

LONDON, 13 OGOS – Kapten Chelsea, Cesar Azpilicueta menegaskan bahawa Tammy Abraham dan Mason Mount akan membuktikan potensi mereka selepas menerima kecaman pedas daripada Jose Mourinho susulan kekalahan 4-0 di Manchester United.

Mourinho mendakwa bos baharu Chelsea, Frank Lampard tersilap dalam memilih kesebelasannya, menurunkan Abraham dan Mount, menentang pasukan seperti Man United.

Bekas pengurus Chelsea itu berkata dia terkejut mendapati pemain seperti N’Golo Kante, Olivier Giroud dan Marcos Alonso di bangku simpanan ketika United mengamuk di Old Trafford baru-baru ini.

Azpilicueta menyatakan bahawa dia tidak bersetuju dengan penilaian yang dibuat ke atas dua pemain dari akademi Chelsea itu.

“Jika mereka berada di sini, ia adalah kerana mereka layak. Mereka berjuang dalam setiap sesi latihan. Kami percaya dengan mereka,” kata Azpilicueta.

“Kesemua pemain, mereka berlatih untuk pasukan pertama Chelsea sejak muda dan kini kita mempunyai peluang besar untuk menubuhkan sebuah kumpulan hebat, belajar daripada setiap perlawanan.

“Jelasnya semua orang mahu memulakan musim dengan lebih baik tetapi kami perlu berdepan dengan realiti dan menjadi lebih kuat.” – AFP