LONDON, 1 Feb – Cesar Azpilicueta berharap keputusan Maurizio Sarri untuk mengadakan perbincangan panjang selepas kekalahan memalukan Chelsea di tangan Bournemouth mampu mencetuskan kebangkitan dalam tempoh sukar musim ini ketika mereka bersedia menanti kehadiran pasukan bawahan liga, Huddersfield.
Skuad kendalian Sarri tewas mengejut 4-0 awal pagi Khamis lalu yang menyaksikan kekalahan terbesar Chelsea dalam Liga Perdana sejak 1996.
Bukan kali pertama musim ini, Chelsea gagal menukar penguasaan bola yang bagus pada babak pertama kepada gol dan dihukum selepas rehat ketika Bournemouth membuli pertahanan longlai David Luiz dan Antonio Rudiger.
Kekalahan kelima Chelsea dalam 12 saingan liga menyebabkan pasukan barat London hilang tempat dalam kalangan empat teratas apabila Arsenal memintas mereka menerusi perbezaan gol dan Sarri, yang tiba dari Napoli pada Julai lalu, kini bertarung untuk mengekalkan jawatannya.
Pengendali Itali yang berang itu meminta staf sokongan meninggalkan bilik persalinan Chelsea di Dean Court ketika dia membuat ‘bedah siasat’ selama 40 minit bersendirian dengan skuadnya.
Kapten Chelsea, Azpilicueta mengakui rasa marah semakin meluap kerana persembahan mereka yang jauh daripada tahap ditetapkan juara Liga Perdana 2016/17 itu.
Namun pemain pertahanan kanan, Azpilicueta berharap sesi tegang itu akan menjadi peringatan buat keseluruhan musim ini.
“Selepas itu kami bercakap seperti seorang lelaki antara pengurus dan pemain,” kata Azpilicueta. “Ia keputusan yang sukar selepas dua kemenangan dalam saingan merebut piala. Untuk tewas 4-0 sebagai pemain Chelsea memang tidak boleh diterima.
“Untuk jatuh semula sangat mengecewakan,” katanya. “Kami sangat marah. Ia tidak boleh diterima buat Chelsea dan kami perlu cari penyelesaian.” – AFP
































