Azrel tolak dakwaan tidak bernasib baik dalam percintaan

Pelakon, Azrel Ismail mengakui mempunyai beberapa calon untuk dijadikan isteri, tetapi masih dalam tempoh pemerhatian.

Bagaimanapun, kata Azrel, dia memberi tempoh antara satu hingga dua tahun, sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Ada dua atau tiga calon dalam pemerhatian. Mungkin tahu dan tak tahu.

“Bagaimanapun, bukan semua golongan selebriti, ada juga gadis biasa. Jika boleh, saya tak mahu pasangan berkecimpung dalam dunia seni.

“Ini kerana pengalaman terdahulu bersama golongan selebriti tak berapa bagus. Mungkin gadis biasa lebih memahami kerana kriteria nak jadi isteri kenalah faham dengan tuntutan kerjaya saya,” katanya kepada media.

Azrel yang pernah dikaitkan dengan pelakon, Ruhainies dan Sharifah Husna turut menolak dakwaan dirinya tidak bernasib baik dalam percintaan apabila beberapa kali hubungan tidak berkekalan.

“Saya tak pernah rasa tiada nasib dalam percintaan. Mungkin sebab saya tak boleh fokus ke arah perhubungan sahaja. Setengah orang mahukan perhatian sepenuhnya, tetapi ia perkara sukar untuk dilakukan.

“Jadual terlalu padat, jadi komitmen yang ada membuatkan saya tak boleh memberikan sepenuhnya pada hubungan. Apabila pasangan tidak faham, ia membuat hubungan tidak menjadi.

“Sebagai lelaki, banyak yang belum dicapai, perniagaan pun belum ada lagi. Masa depan penting untuk saya sebagai lelaki, apatah lagi saya mahu membina keluarga. Ekonomi perlu kukuh dan stabil,” katanya. – Agensi

Azrel Ismail mengakui mempunyai beberapa calon untuk dijadikan isteri, tetapi masih dalam tempoh pemerhatian. – Agensi