Isu antara Azwan Ali dan AwesomeTV nampaknya berakhir selepas pengacara itu memilih untuk ‘move on’ dan enggan memanjangkan hal berkenaan.
Ia selepas pihak stesen televisyen itu menjelaskan sudah membuat bayaran tertunggak kepada Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA pada hari dia dihentikan tugas pada 8 Mac lalu.
Pengacara berusia 56 tahun itu berkata, dia mahu meluangkan masa dengan bercuti di luar negara dan menunaikan umrah.
“Saya dah lama anggap Awesome TV terkubur. Tidak ada apa-apa kenyataan untuk saya berikan. Bagi saya, enough is enough.
“Sebab saya pun ada banyak benda hendak dibuat dalam hidup. Sikit pun saya tidak hairan dan tidak ambil pusing pun dengan kenyataan mereka.
“Saya ada benda lebih baik hendak buat, lebih baik saya pergi bercuti. Sempadan pun dah nak buka, saya nak pergi London dan tunai umrah,” katanya kepada mStar.
Azwan atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Haji Ali diminta mengulas mengenai kenyataan daripada Awesome TV mengenai bayaran penuh yang diterima.
Sebelum ini, Azwan menuntut jumlah baki bayaran tertunggak seperti yang dijanjikan selain meminta pihak produksi untuk berhenti mengeluarkan kenyataan memburukkan namanya.
Azwan turut mendedahkan dia tidak menerima sebarang surat rasmi dan kesal dengan tindakan stesen berkenaan yang mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa memaklumkan kepadanya terlebih dahulu.
Bagaimanapun, pihak Awesome TV tampil menjelaskan mereka sudah memberi bayaran penuh kepada Azwan pada hari dia dihentikan iaitu Selasa lalu.
Biarpun hanya melunaskan tugas sebagai pengacara Mic On! selama enam minggu namun pihak stesen TV itu tetap memberi bayaran untuk 10 minggu.
Pihak Awesome TV turut memberitahu bahawa surat pemberitahuan rasmi penamatan khidmat Azwan telah dikeluarkan Selasa lalu.
Untuk maklumat, Azwan dihentikan tugas serta-merta selepas didakwa buat hal ketika mengendali program realiti tersebut. – Agensi