Dengan empat drama lakonannya sedang ditayangkan TV3, tidak syak lagi, rezeki Azza Elite bertambah murah selepas pembukaan semula sektor kreatif akibat penularan pandemik COVID.
Azza atau nama sebenar, Nor Azzarima Zawari bersyukur hasrat kembali aktif berlakon mencapai sasaran dengan satu persatu tawaran diterima.
Ketika ini, empat drama lakonannya iaitu Mem & Bibik-Bibik, Republik Gombak, 7 Hari Mencintaiku 3 dan Isteri-Isteri Ayah sedang disiarkan TV3.
“Kebetulan, kerjaya seni diurus Syarikat Dinomay Entertainment. Jadi, jadual kerja lebih tersusun. Malah, syarikat produksi mula ‘mengintai’ saya.
“Syarikat Zeel Production antara yang membuka pintu rezeki saya melalui drama Tak Sempurna Mencintaimu. Rezeki berterusan dengan musim ketiga drama 7 Hari Mencintaimu terbitan SR One Sdn Bhd.
“Selama 26 tahun saya ceburi dunia seni, inilah kali pertama rezeki berlakon ‘back to back’. Walaupun bukan watak utama, kesempatan dan momen seperti ini bukan selalu datang.
“Tidak pernah saya bayangkan dapat berlakon dalam drama yang menjadi fenomena dan kegilaan ramai di TV3 seperti 7 Hari Mencintaiku 3.
“Watak Kak Piah dalam drama itu pun membuatkan saya dibenci,” katanya sambil memberitahu drama Isteri-Isteri Ayah diulang siar, bukannya karya baharu.
Azza yang pernah berentap bersama anggota Elite dalam musim kelima program realiti, Gegar Vaganza (GV5) berkata, dia terpaksa menolak beberapa tawaran lain berikutan faktor masa.
“Ada beberapa syarikat produksi yang mahu menghasilkan drama lain tawar saya berlakon. Tetapi, saya perlu dahulukan komitmen yang sudah dipersetujui.
“Saya tidak mahu ‘rembat’ semua hingga membebankan orang lain pula. Cukup saya penuhi komitmen yang ada. Saya tidak mahu tamak dan menyusahkan diri kelak,” katanya.
Azza mengaku memberi 100 peratus komitmen ketika berada di lokasi penggambaran.
“Saya anggap diri ini macam pelakon baharu. Disiplin dan datang awal ke set penggambaran seperti ditunjukkan Rozita Che Wan dan Fasha Sandha saya contohi.
“Mereka boleh datang awal. Malulah pelakon lama macam saya kalau datang lambat,” katanya yang sibuk dengan perniagaan termasuk menjual sejadah gebu. – Agensi