B.1.1.529 masih dikaji

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Dalam perkembangan terkini mengenai varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529 yang dikesan di Afrika Selatan, penyelidikan ke atas virus itu masih lagi dikaji dan dianalisis.

“Pada masa ini, WHO masih lagi memantau virus itu dan memerlukan masa untuk memastikan sama ada ia variant of concern atau hanya variant of interest,” jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar.

Menurut Yang Berhormat Dato lagi, “Walau bagaimanapun apa yang diketahui dengan varian baharu ini ialah ia memiliki mutasi yang banyak. Mutasi ini sememangnya boleh menjadikannya lebih agresif tetapi kadang-kadang mutasi ini terlalu banyak, ia juga boleh menyebabkan virus itu mematikan dirinya kerana ia bermutasi lebih banyak dan kerap maka jangka hayatnya boleh menjadi pendek.”

Perkara tersebut dijelaskan oleh beliau semasa menjawab soalan sidang media mengenai penemuan varian baharu COVID-19 di Afrika Selatan yang mempunyai kadar mutasi yang sangat luar biasa yang mampu mengatasi tindak balas imun badan dan menjadikannya lebih mudah berjangkit yang sememangnya menjadi kegusaran dunia amnya.

Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato turut menyatakan pihak Kementerian Kesihatan juga sentiasa memantau jika berlakunya jangkitan virus ini di sekitar rantau ini sementara itu, kita menanti kajian-kajian yang dapat dilaksanakan lagi mengikut WHO.