Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    B-18: Jelajah Jepun bagi persiapan AFF

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Pasukan Bawah-18 tahun (B-18) kebangsaan semalam berlepas ke Jepun bagi mengadakan latihan jelajah menjelang persaingan Kejuaraan B-18 Tahun Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang akan diadakan di Myanmar pada bulan depan.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat jalan adalah Pemangku Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Haji Madli Mohd Yussof dan pegawai-pegawai NFABD yang lain.

    Ketika berada di Jepun, pasukan negara akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan belia dari Divisyen Satu Liga Profesional Jepun (J1) Cerezo Osaka dan Vissel Kobe dan juga akan menyertai program pertukaran kebudayaan.

    Dalam nasihatnya, Haji Madli menggesa pasukan “beraksi dengan penuh yakin dan pastikan negara bangga.”

    “Anda diberikan peluang untuk mewakili negara anda, jadi berikanlah 100 peratus.

    Haji Madli dan para pegawai NFABD bergambar ramai bersama barisan pemain Pasukan B-18 Kebangsaan sebelum berlepas ke Jepun.

    “Ikuti arahan jurulatih dan jaga kesihatan,” tambah beliau lagi.

    Diundi dalam Kumpulan B, Brunei akan menentang Myanmar, Vietnam, Indonesia dan Filipina pada persaingan yang akan diadakan bermula 4 sehingga 7 September depan dalam Kejuaraan B-18 AFF di Yangon, Myanmar.

    Jurulatih pasukan B-18 Kebangsaan, Takao Fujiwara merasa yakin jelajah latihan di Jepun itu nanti akan memastikan persediaan lebih baik terhadap pemainnya.

    “Kami akan bersedia dengan lebih baik lagi apabila berada di Jepun, dan saya berharap sebahagian pemain boleh meningkatkan standard mereka apabila mereka berada di sana,” kata Fujiwara.

    “Pasukan ini sudah bersama selama enam bulan dan saya berharap kami akan melakukannya dengan lebih baik di Myanmar,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda