Baby Shima dipalit kontroversi lagi

Baby Shima semalam mengaku foto kelibat wanita bermesra dengan seorang jejaka di premis dipercayai kelab hiburan adalah dirinya, tetapi, enggan mengulas lanjut, namun hari ini, dia mendakwa aksi dirakam sebenarnya babak dalam video muzik bagi single baharu, Lalai.

Mempertahankan bukan sengaja mencetuskan gimik demi meraih perhatian, Baby Shima berkata, kekecohan timbul selepas warganet meninggalkan komen dalam laman sembang yang akhirnya menarik perhatian media.

Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli, 29, berkata perhatian itu datang daripada warganet, bukan dirinya yang sengaja mencetuskan gimik.

“Apa yang saya buat bukanlah gimik atau sengaja mahu meraih perhatian. Sebaliknya, perhatian itu datang daripada sesetengah warganet yang meninggalkan komen dan kemudian media ‘pickup’.

“Jadi, terpulang hendak percaya atau tidak. Saya tahu apa yang keluar dari mulut, orang tetap tidak percaya.

Baby Shima mempertahankan dirinya bukan berniat mencari perhatian ramai atau mencipta gimik sempena kemunculan single baharu, Lalai. – Agensi

“Semoga apa yang saya alami ini tidak terjadi kepada mereka. Sebab mereka tidak tahu, betapa peritnya apa yang saya rasakan sekarang.

“Satu sahaja saya mahu pesan. Cuba bayangkan dan fikirkan perkara ini berlaku pada mereka atau ahli keluarga mereka.

“Cuba letak diri awda dalam situasi saya, jangan sedap mulut cakap, kerana depresi ini adalah benar,” katanya.

Sejak semalam, laman sosial kecoh dengan foto Baby Shima di premis disyaki pusat hiburan yang tampak sedang bermesra dengan seorang jejaka.

Akibat kontroversi itu, Baby Shima mendakwa menghadiri sesi kaunseling bersama kaunselor sukarelawan Rumah Prihatin, Muhamad Nabil Che Musa di Rumah Prihatin, Jalan Pahang, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Shima berkata, dia bertemu kaunselor kerana berdepan tekanan perasaan angkara warganet yang didakwa tidak berhenti mencari kesalahannya.

“Sebenarnya, kalau mahu diikutkan, saya tak mahu pergi. Namun, kawan saya mencadangkan saya jumpa pakar.

“Jadi, saya pergi sebab dia tahu saya tidak suka berkongsi masalah dengan orang lain termasuk keluarga sendiri.

“Apabila semua masalah diceritakan kepada pakar kaunseling itu, Alhamdulillah, rasa sangat lega. Cuma saya kena ulang sesi untuk kali kedua pada masa sesuai… Insya Allah,” katanya.

Bagaimanapun, tambah Baby Shima, tekanan dialami bukanlah semata-mata daripada kecaman warganet.

“Semuanya bercampur dengan masalah sekarang. Apatah lagi ditambah dengan kerja dan masalah kakitangan termasuk di Indonesia.

“Jadi, banyak yang saya perlu fikir pada masa sama,” katanya. – Agensi