Baby Shima nafi mahu tukar kerakyatan

‘Saya masih cintakan Malaysia.’ Itu penjelasan penyanyi Baby Shima apabila kecoh gosip konon mahu menukar kerakyatan dan berhijrah ke Indonesia bagi meneruskan karier seni.

Baby Shima atau nama sebenar, Nor Ashima Ramli, 29, mengaku tidak pernah menyatakan hasrat mahu menukar kewarganegaraan dan semuanya berpunca salah faham.

“Saya tak kata ingin berpindah ke luar negara. Saya cuma beritahu ingin pulang ke Jakarta. Saya gembira berkarya di Indonesia kerana diri lebih dihargai, tiada niat pun mahu tukar kerakyatan.

“Saya masih cintakan tanah air saya. Tetapi peluang untuk artis Malaysia berada di Indonesia bukanlah senang. Ramai mahu cuba masuk pasaran di sana tetapi tidak diterima.

“Jadi, apabila diterima di Indonesia, ini peluang yang tidak akan dipersiakan. Apatah lagi, saya bernaung di bawah label terbesar di Indonesia iaitu Nagaswara,” katanya kepada media.

Baby Shima mengaku tidak pernah menyatakan hasrat mahu menukar kewarganegaraan dan semuanya berpunca salah faham. – Agensi

Tambah Shima, dia rasa lebih dihargai media Indonesia, malah layanan yang diterima daripada pengikut di Malaysia dan Indonesia, dirasakan berbeza.

“Media Indonesia hargai saya. Apa sahaja aktiviti saya di sini, mereka buat liputan.

“Walaupun saya tidak berada di Indonesia, mereka tetap mengikuti perkembangan saya di Malaysia sama ada daripada aspek kerjaya atau kontroversi. Bak kata orang hujan emas di negara orang,” katanya.

Baru-baru ini, melalui entri Instagram (IG), penyanyi lagu Lalai ini berkongsi paparan skrin laporan berita daripada beberapa portal hiburan di Indonesia.

Antara tajuk artikel terbabit menyebut Baby Shima tertekan kerana dibuli warganet Malaysia dan mahu berhijrah ke Indonesia. Shima mengaku akan kembali ke Indonesia, tidak lama lagi, bagi meneruskan aktiviti seni yang tergendala.

“Saya memang hendak pulang ke Jakarta, lagipun, rumah saya di sana terbiar kosong selama ini.

“Sebelum pandemik COVID-19 melanda, saya sudah tiga tahun menetap di Jakarta. Berikutan wabak ini, saya pulang ke Malaysia atas arah Kedutaan Malaysia di Jakarta.

“Sebelum ini, jika ada ‘job’ atau cuti Aidilfitri, baru saya pulang ke tanah air,” katanya. – Agensi