Menjayakan filem pertama berjudul Biko sebagai bintang utama, bukan tugasan mudah buat penyanyi dan pelakon sensasi, Baby Shima, apatah lagi, setiap pergerakannya sentiasa menjadi perhatian warganet.
Sungguhpun begitu, Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli yang membawa watak Sara dalam filem arahan Teng Bee itu berkata, dia sudah bersedia daripada segi mental berhubung komen dan kritikan yang bakal diterima menerusi lakonan pertamanya itu.
“Apa sahaja saya buat, orang tetap akan kecam. Saya beri makan kucing pun kena kecam.
“Jadi, saya percaya lakonan dalam filem Biko pastinya ramai yang menonton. Oleh itu, saya sudah bersedia dan hakikatnya, sebagai seorang artis, saya tidak boleh lari dari kecaman,” katanya kepada BH Online.
Penyanyi lagu Lalai itu ditemui ketika majlis pra tonton dan sidang media filem Biko di GSC The Starling Mall, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Selain Shima, filem terbitan Multimedia Entertainment yang bakal ditayangkan pada 13 Oktober ini dibarisi Azrel Ismail, Sara Ali dan Syed Irfan. Shima turut menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Cinta Darimu.
Berkongsi mengenai filem Biko, Shima berkata, dia menerima tawaran menjayakan filem bergenre drama romantik daripada syarikat produksi bagi menyahut cabaran perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini.
“Saya terima sebab tertarik watak Sara apabila membaca skrip. Watak ini berbeza daripada apa yang pernah saya bawa sebelum ini.
“Saya bersyukur pengarah, Teng Bee banyak mengajar dari segi permainan kamera dan menghayati watak,” katanya.
Dilihat makin aktif dalam dunia lakonan, Shima tidak dinafikan menerima banyak tawaran lakonan, namun, terpaksa menolak berikutan lebih fokus pada bidang nyanyian. – Agensi