Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Smarter Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Ahli Lions Club Bandar Seri Begawan (BSB) kelmarin telah menyerahkan sumbangan berjumlah $500 ke Pusat Autisme bagi Orang Dewasa (BACA), SMARTER Brunei di Kampung Sungai Hanching.
Hadir menyampaikan cek berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pusat SMARTER, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman ialah Presiden Lions Club, Sunil Ramchandani.
Terdahulu, ahli Lions Club telah diberikan taklimat mengenai latar belakang pusat berkenaan dan dibawa melawat di sekitar kawasan pusat tersebut.
Menurut Malai Haji Abdullah, penubuhan Pusat SMARTER antara lain bertujuan untuk membantu dan memberi tunjuk ajar kepada para pelajarnya mengenai kehidupan seharian mereka serta untuk berinteraksi dengan keluarga dan juga masyarakat.
Tambahnya, pusat berkenaan sedang giat menjalankan beberapa projek seperti mencipta produk yang boleh diguna pakai dengan menggunakan bahan terpakai.
Sementara itu, presiden Lions Club, berkata, beliau amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Pusat SMARTER dalam meningkatkan kesedaran tentang kitaran semula barang terpakai dengan menggalakkan ahli Lions Club untuk menyumbangkan barangan berkenaan.