Bacaan Ratib Al-Attas semarak Sambutan Hari Keputeraan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Hal Ehwal Muslimah dengan kerjasama Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong telah melaksanakan program yang diisikan dengan bacaan Ratib Al-Attas secara beramai-ramai, hari ini.

Majlis berlangsung di Masjid Kampung Bukit, Daerah Tutong dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Hal Ehwal Masjid Daerah Tutong, Haji Masri bin Haji Mohammad.

Turut hadir ialah pegawai dan kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Muslimah serta belia dan beliawanis dari Daerah Tutong.

Antara tujuan acara berkenaan adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di samping untuk melazimkan diri dengan bacaan zikir dalam kehidupan seharian.

Acara tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat majlis dan seterusnya bacaan Ratib Al-Attas beramai-ramai yang diketuai oleh belia Masjid Kampung Bukit, Daerah Tutong.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh belia Masjid Kampung Bukit, Awang Muhammad Jalimi bin Muhammad Solihen.

Antara yang hadir pada majlis keagamaan di Masjid Kampung Bukit, Tutong.