Bacaan tahlil bagi al-marhum putera diraja

Oleh Salawati Haji Yahya

BELAIT, 5 NOV – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pekan Kuala Belait telah mengadakan Majlis Surah Yasin dan Tahlil khusus bagi Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim secara maya, kelmarin.

Pada majlis itu, Pemangku Ketua Kampung Pekan Kuala Belait, Awang Sufrizal bin Haji Hamdani hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istifighar yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi MPK, Abang Mustafa bin Orang Kaya Paduka Setia Diraja Abang Haji Abu Hanifah diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh Awang Sufrizal.

Kemudian, majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Tahlil sebelum diteruskan dengan bacaan Doa Menghindari Wabak COVID-19 dan diakhiri dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir pada majlis yang penuh berkebajikan itu ialah ahli-ahli Jawatankuasa MPK Pekan Kuala Belait, ketua-ketua kampung, ketua dan pemangku ketua kampung bagi Mukim Kuala Belait dan belia-belia Masjid Muhammad Jamalul Alam.

Antara yang mengikuti majlis tahlil secara maya anjuran MPK Pekan Kuala Belait.