Bachelet tidak akan tanding penggal kedua

GENEVA, 13 JUN – Ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Michelle Bachelet berkata kelmarin bahawa dia tidak akan bertanding bagi penggal kedua, menamatkan spekulasi selama berbulan-bulan di tengah-tengah kritikan yang semakin meningkat terhadap pendiriannya yang longgar terhadap pencabulan hak asasi di China.

“Memandangkan penggal saya sebagai Pesuruhjaya Tinggi semakin hampir, sesi ke-50 Majlis ini akan menjadi taklimat terakhir saya,” kata Bachelet kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB ketika ia membuka sidang yang berlangsung selama empat minggu.

Dia walau bagaimanapun, tidak memberikan penjelasan bagi keputusan yang dibuat.

Bekas presiden Chile berusia 70 tahun itu, yang akan menamatkan mandat empat tahunnya pada penghujung Ogos, sehingga kini masih membisu sama ada dia akan berusaha untuk kekal bagi penggal kedua atau tidak.

Sementara itu, spekulasi telah berleluasa selama berbulan-bulan, dengan pelbagai diplomat di Geneva memberitahu AFP dalam beberapa minggu kebelakangan ini bahawa dia masih belum memberikan petunjuk kepada rancangannya.

Jawatan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia lazimnya menghadapi tekanan politik yang berat dari negara-negara di seluruh dunia, walaupun ia boleh dipegang bagi maksimum tempoh dua penggal, hampir semua pendahulu Bachelet telah mengelak daripada kekal selama lebih daripada satu penggal.

Bachelet juga telah berdepan kritikan yang semakin meningkat daripada pelbagai negara serta NGO kerana tidak bersuara dengan lebih tegas terhadap dakwaan pencabulan hak asasi yang berleluasa di beberapa buah negara, terutamanya di China. – AFP