Badan amal bantu kanak-kanak realisasikan potensi seni

LUSAKA – Kajian menunjukkan seni meningkatkan komunikasi dan tumpuan. Ia juga membantu mengurangkan perasaan terasing dan menambah keyakinan serta kesedaran diri seseorang individu.

Berdasarkan latar belakang ini, Nkhani Zanga, sebuah badan amal yang berpangkalan di Zambia telah menyediakan sumber untuk kanak-kanak daripada latar belakang yang kurang berkemampuan untuk membolehkan mereka meneroka dan mengeksploitasi potensi artistik dalam bidang muzik, puisi, drama dan lukisan antara lain.

Organisasi ini menyediakan pen mewarna dan berus serta kertas kepada kanak-kanak yang lebih muda untuk melukis. Bagi remaja yang ingin menceburi bidang nyanyian atau lukisan, Nkhani Zanga memudahkan penyertaan mereka dalam program bimbingan.

“Kami bekerjasama dengan inisiatif berasaskan komuniti seperti sekolah komuniti yang terletak di kawasan setinggan untuk menyediakan persekitaran yang membolehkan kanak-kanak dan remaja mengekspresikan diri mereka melalui seni,” jelas Pengarah Eksekutif Nkhani Zanga James Banda.

Banda memerhatikan kanak-kanak dari kawasan setinggan dan lain-lain tempat berpendapatan rendah tidak mempunyai akses kepada peralatan dan platform untuk menzahirkan sifat seni mereka, keadaan yang menurutnya telah menghalang ramai daripada mereka merealisasikan potensi penuh mereka.

“Seni adalah kunci untuk membuka potensi kanak-kanak. Oleh itu, adalah tidak wajar jika sesetengah kanak-kanak tidak dapat menyemarakkan potensi kreatif mereka kerana kekurangan perkara mudah seperti pen mewarna, berus lukisan atau hanya ruang untuk menyerlahkan idea seni mereka,” katanya.

Banda seterusnya menyebut Nkhani Zanga telah memberikan sokongan material dan teknikal kepada kira-kira 217 kanak-kanak termasuk remaja di pelbagai bahagian Zambia sejak ia ditubuhkan pada tahun 2018. Organisasi itu telah menyumbangkan bahan seni kepada beberapa entiti berasaskan komuniti di seluruh negara.

Agness Sachitengi, guru besar di Orphan’s Cry School, berkata bahan seni yang disumbangkan oleh Nkhani Zanga telah merangsang minat dalam seni kerana pelajar khususnya yang lebih muda kini sentiasa menantikan sesi seni yang dijalankan oleh sekolah itu setiap Jumaat.

Sachitengi berkata sekolah itu yang terletak di kawasan pilihan raya Chawama, kawasan perumahan berpendapatan rendah padat penduduk di Lusaka, ibu negara Zambia, baru-baru ini menerima berus lukisan, pen mewarna dan kertas daripada Nkhani Zanga.

“Anak-anak kecil kini lebih teruja berada di sekolah kerana mereka tahu mereka mempunyai bahan yang diperlukan untuk sesi seni,” katanya. – Xinhua

Kelihatan seorang guru memberikan tunjuk ajar kepada kanak-kanak di Orphan’s Cry School di Lusaka, Zambia. – Xinhua
Kanak-kanak dari Orphan’s Cry School menunjukkan bakat nyanyian mereka. – Xinhua