Thursday, April 24, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Badi Wembley hantui Spurs

    LONDON, 12 Sept – Kecewa dengan siri pengalaman teruk di Wembley, Tottenham Hotspur akan menghoskan Dortmund Khamis ini terdesak untuk menamatkan badi yang menghantui mereka di stadium kebangsaan itu.

    Apabila skuad Mauricio Pochettino membuat sepak mula dalam kempen Liga Juara-Juara menentang pasukan dari Jerman itu, ia bukan hanya untuk meraih mata Kumpulan H.

    Bagi Spurs, Wembley dalam bahaya menjadi badi yang akan menghancurkan cita-cita mereka untuk cabaran bagi sebarang trofi di tanah air dan luar negara.

    Kelab London utara itu terpaksa berpindah ke Wembley sementara White Hart Lane melalui pembinaan semula.

    Tetapi Spurs kini sudah bermain 12 perlawanan di Wembley sejak venue itu diubahsuai, hanya menang dua kali dan mengalami lapan kekalahan.

    Pergelutan Spurs di Wembley menjadi tumpuan musim lepas dalam Liga Juara-Juara apabila mereka hanya menang sekali dalam perlawanan peringkat kumpulan di sana.

    CSKA Moscow merupakan satu-satunya yang mereka mampu tewaskan, namun kekalahan kepada Monaco dan Bayer Leverkusen telah menyebabkan mereka tersingkir.

    Malah bermain menentang Gent dalam Liga Europa di Wembley terbukti menjadi pengalaman menyakitkan apabila pasukan Belgium itu meraih keputusan seri, sekali gus menyingkirkan Tottenham dalam peringkat 32.

    Malah, nasib malang di Wembley begitu kuat apabila Spurs tewas perlawanan separuh akhir Piala FA 4-2 kepada Chelsea akhir musim lepas.

    Perbezaan antara prestasi mereka di Wembley dan White Hart Lane adalah sangat jelas.

    Penamat tempat kedua musim lepas dalam Liga Perdana terbina atas rekod tanpa kalah di depan penyokong sendiri, yang menyaksikan mereka menang 17 perlawanan dan seri dua daripada 19 perlawanan di gelanggang sendiri. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda