Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Sebanyak 12 buah pasukan bertanding dalam kejohanan badminton yang julung-julung kalinya diadakan iaitu Perlawanan Badminton Sempena Memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan ke-65 yang berlangsung di Dewan Setia Negara, Jabatan Penerangan.
Perlawanan badminton yang bermula hari ini hingga 21 Mei nanti, merupakan salah satu acara yang diadakan sempena memperingati Penubuhan Jabatan Penerangan ke-65 di mana penyertaannya dibuka kepada jabatan-jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan media-media swasta tempatan.
Hadir untuk merasmikan perlawanan badminton berkenaan ialah Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad.
Terdahulu sebelum merasmikan perlawanan badminton berkenaan, Awang Mawardi telah diperkenalkan kepada para pemain daripada pasukan-pasukan yang mengambil bahagian dalam perlawanan itu.
Dalam perlawanan berkenaan, 12 pasukan yang mengambil bahagian dibahagikan kepada dua buah kumpulan iaitu Kumpulan A iaitu Biro Kawalan Narkotik ‘A’, Pasukan Polis Diraja Brunei, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Peguam Negara (gabungan) dan Jabatan Penerangan ‘A’.


Sementara itu bagi Kumpulan B, Biro Kawalan Narkotik ‘B’, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RB), Pusat Pengajian Strategik dan Polisi (CSPS), Pusat Kebangsaan E-Kerajaan (EGNC), Institut Perkhidmatan Awam (IPA) dan Jabatan Kehakiman (gabungan) dan Jabatan Penerangan ‘B’.
Perlawanan badminton itu dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara jabatan-jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri serta untuk mempromosikan cara hidup sihat di kalangan para pegawai dan kakitangan.
Selain daripada perlawanan badminton, Jabatan Penerangan juga akan mengadakan perlawanan bola jaring dan kejohanan futsal bagi jabatan-jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan media-media swasta tempatan.
Jabatan Penerangan yang dulu dikenali sebagai Perkhidmatan Penerangan, ditubuhkan pada 1 April 1952, di mana antara peranan utama jabatan berkenaan ialah sebagai lidah dan telinga kerajaan dalam menyampaikan maklumat dan berita mengenai dasar, aktiviti dan program kerajaan, mendengar isu-isu terkini serta memahami agenda media massa.