Badminton: Nasihat buat Zii Jia

KUALA LUMPUR, 11 Okt – Bekas pemain perseorangan badminton Malaysia, Wong Choong Hann menasihati pemain muda yang baharu menggenggam kejuaraan di Terbuka Taiwan, Lee Zii Jia supaya memiliki sikap ‘dahagakan’ ilmu baharu demi meningkatkan mutu permainannya.

Choong Hann yang pernah menduduki ranking nombor satu dunia sekitar tahun 2002 berkata masih banyak yang perlu Zii Jia pelajari untuk mencapai status pemain yang digeruni pihak lawan.

“Jangan cepat berpuas hati. Beliau harus memiliki sifat untuk sentiasa mencari ilmu pengetahuan yang baharu dan mempelajari teknik-teknik lain untuk menjadi pemain yang hebat pada masa akan datang.

“Saya dapat lihat dalam permainannya di Terbuka Taiwan pada perlawanan separuh akhir, beliau betul-betul berusaha walaupun diberi tentangan yang cukup hebat dan tidak berputus asa. Itulah sifat seorang juara,” katanya.

Choong Hann, 41 tahun, ditemui media pada majlis memperkenalkan senarai pemain Kelab Badminton Ampang Jaya (AJBC) bagi menghadapi saingan Purple League 2018/2019 yang akan berlangsung Disember ini.

Zii Jia mengakhiri kemarau 14 tahun Malaysia di Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan apabila menjuarai acara perseorangan lelaki selepas menewaskan pemain Jepun Riichi Takeshita 21-17, 16-21, 21-11 di Arena Taipei pada Ahad lepas.

Kali terakhir Malaysia menjuarai perseorangan lelaki kejohanan itu ialah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada 2004. – Bernama