Badminton Terbuka China, Jepun dibatalkan

TOKYO, 29 JULAI – Sukan berprestij badminton Terbuka China dan Jepun dibatalkan semalam oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan mengumumkan bahawa empat kejohanan pada September di Asia tidak akan dimainkan kerana wabak COVID-19.

Terbuka Taipei pada 1 hingga 6 September, Terbuka Korea pada 8 hingga 13 September, Terbuka China 15 hingga 20 September dan Terbuka Jepun pada 22 hingga 27 September semuanya telah dibatalkan.

“Kami sangat kecewa kerana terpaksa membatalkan kejohanan itu, tetapi merasakan bahawa kesejahteraan semua orang yang terlibat adalah yang paling utama pada masa ini,” kata Setiausaha Jeneral BWF, Thomas Lund dalam satu kenyataan.

“Kami berkongsi kekecewaan banyak orang di seluruh dunia yang menantikan kembalinya badminton dan menghargai semua sokongan berterusan dari peminat dan rakan kongsi kami ketika kami terus menjalani baki musim 2020,” tambahnya.

Wabak ini telah menjejaskan banyak acara sukan di seluruh dunia, dari penangguhan Olimpik Tokyo 2020 hingga pembatalan Wimbledon.

Berikutan dengan penularan pandemik COVID-19, sukan berprestij badminton Terbuka China dan Jepun dibatalkan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dengan mengumumkan bahawa empat kejohanan pada September di Asia tidak akan dilangsungkan. – AFP

WTA Terbuka Pan Pacific di Jepun, salah satu pertandingan tenis terkemuka di Asia, juga dibatalkan untuk pertama kalinya baru-baru ini.

Minggu lalu, Jelajah ATP lelaki dan Jelajah WTA wanita mengumumkan semua kejohanan tenis di China untuk sepanjang tahun ini telah dibatalkan, termasuk Shanghai Masters dan Final WTA di Shenzhen.

Badminton cukup popular di seluruh Asia dan Terbuka China adalah salah satu daripada dua kejohanan siri World Super Tour 1000 dalam kalendar sementara Terbuka Jepun adalah salah satu daripada lima acara World Tour Super 750 tahunan.

Pada tahun yang biasa tanpa sekatan perjalanan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, kedua-duanya akan menarik semua pemain lelaki dan wanita peringkat terbaik di dunia.

Acara kemudian di Asia seperti Terbuka Super 500 Hong Kong pada bulan November dan final Jelajah Dunia di China tetap disenaraikan dalam kalendar, tetapi BWF mengingatkan bahawa keputusan mengenai acara di masa depan akan dibuat tepat pada waktunya. – AFP