Badut jual air serbat sambil menghibur

GEORGE TOWN – Lengkap berpakaian sut badut, Yusmanizam Hassan menghiburkan orang ramai di Pasar Chowrasta Pulau Pinang di sini, sambil menjual air serbat yang dibuatnya sen-diri untuk menjana pendapatan.

Yusmanizam, 34, juga dikenali sebagai ‘Yuyu the Clown’ berkata pekerjaan sepenuh masanya itu terjejas akibat wabak COVID-19 dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata sebelum PKP dikuatkuasakan, Yusmanizam biasanya membuat persembahan sekurang-kurangnya di lima acara seminggu dan mampu memperoleh RM3,000 hingga RM4,000 seminggu.

“Bagaimanapun, sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac, saya hanya menerima tiga tugasan sahaja…benar, ia merupakan tamparan hebat buat saya,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.

Justeru, dia membuat keputusan untuk menjual air serbat bagi menambah pendapatan dan isterinya pula memberikan idea untuk berpakaian seperti badut ketika menjual air yang popular di negeri itu, bagi menarik pelanggan.

Selain menjual di Pasar Chowrasta, Yusmanizam turut menjual air serbat yang dibotolkannya itu dari rumah ke rumah.

“Saya menjual air campuran khas ini di sekitar Teluk Bahang ke Balik Pulau di pulau. Kadang-Kadang saya menjualnya sampai ke Kepala Batas (di tanah besar),” katanya.

Beliau turut mempromosikan produknya itu secara dalam talian dan sambutannya amat menggalakkan.

“Jualan terbanyak yang saya dapat setakat ini ialah kira-kira 285 botol air serbat sehari,” katanya menambah sebotol air serbat berharga RM6 manakala dua botol dengan harga istimewa sebanyak RM10.

Yusmanizam berharap dapat kembali melakukan pekerjaan sepenuh masa sebagai badut apabila PKP berakhir, tetapi akan terus menjual air serbat sekiranya masih ada permintaan.

“Menjadi badut bukan sekadar hobi bagi saya, tetapi juga kerjaya dan selagi saya dapat melihat anak-anak gembira dengan persembahan saya, maka saya juga gembira,” katanya. – Bernama

Yusmanizam Hasan yang mengenakan pakaian badut bukan hanya untuk menghiburkan orang ramai di pasar Chowrasta di Jalan Penang tetapi menjual air serbat buatannya untuk mencari rezeki apabila pendapatan kerjayanya sebagai badut terjejas akibat pandemik COVID-19. – Bernama
Yusmanizam melayan pelanggannya yang membeli air serbat buatannya. – Bernama