Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Baginda Sultan akan hadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kemboja

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 NOV – Kemboja, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2022 akan menjadi tumpuan November ini apabila ia bakal menghoskan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang menghimpunkan para Pemimpin ASEAN dan Rakan-rakan Dialog bagi meneruskan perbincangan mengenai agenda dan keutamaan ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN serta me-ngukuhkan kerjasama ASEAN bersama rakan-rakan dialog.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dijangka berangkat ke sidang-sidang kemuncak tersebut yang akan berlangsung di Phnom Penh, Kemboja pada 10 hingga 13 November ini.

    Ini termasuk keberangkatan Baginda bersama para pemimpin lainnya bagi menghadiri Majlis Pembukaan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN yang menekankan tonggak Komuniti ASEAN iaitu ASEAN Political-Security Community, ASEAN Economic Community dan ASEAN Socio-Cultural Community serta Majlis Santap Malam yang akan dihoskan oleh Perdana Menteri Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen.

    Di bawah tema, ASEAN A.C.T.: Addressing Challenges Together, Kemboja menekankan semangat Kebersamaan yang mana ASEAN sebagai satu komuniti yang harmoni, aman damai, stabil dan makmur, bersama-sama memberikan tindak balas dan menangani cabaran-cabaran serantau dan global termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan dan ancaman keselamatan serantau serta memajukan pemulihan pasca pandemik COVID-19, pembangunan mampan, perdagangan dan teknologi. Kali terakhir Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat ke Phnom Penh adalah pada tahun 2012 bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-20, Sidang Kemuncak ASEAN ke-21 serta sidang-sidang kemuncak berkaitan yang dihoskan oleh kerajaan Kemboja.

    Selepas sidang-sidang kemuncak ASEAN dan sidang-sidang kemuncak berkaitan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia akan meneruskan keberangkatan Baginda di Phnom Penh dengan mengadakan Keberangkatan Negara ke Kemboja pada 14 November, yang menandakan Keberangkatan Negara kali kedua Baginda ke negara berkenaan selepas mengadakannya buat pertama kali pada 4 hingga 7 April 2007.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia, antara lainnya, dijangka akan menghadiri Majlis Perjumpaan bersama Raja Kemboja, His Majesty Preah Bat Samdech Preah Boromneath Norodom Sihamoni dan juga akan bertemu Perdana Menteri Kemboja, bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan hubungan kerjasama dua hala dan pelbagai hala serta usaha-usaha untuk meningkatkan hubungan tersebut sebelum menyaksikan majlis penandatanganan memorandum Persefahaman antara kedua-dua buah negara.

    Keberangkatan Negara Baginda ke Kemboja ini akan mengesahkan semula hubungan dua hala yang mesra dan seterusnya menggariskan keperluan untuk terus menjalin dan meluaskan kerjasama bagi manfaat yang lebih besar kepada rakyat kedua-dua buah negara, ini termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan, pendidikan, belia, sukan dan kebudayaan.

    Pada tahun ini, Negara Brunei Darussalam dan Kemboja menyambut ulang tahun ke-30 penubuhan hubungan diplomatik sejak hubungan berkenaan dijalinkan pada 9 Jun 1992.

    Papan iklan menunjukkan persediaan kerajaan Kemboja untuk menyambut kedatangan pemimpin-pemimpin ASEAN. – Gambar oleh Infofoto

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...