Oleh Syahmi Hassan
SAN FRANCISCO, 19 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin berangkat menghadiri APEC Economic Leaders’ Retreat (Sesi II) yang berlangsung di Moscone Center, San Francisco, Amerika Syarikat.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sesi II telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Presiden Amerika Syarikat, Tuan Yang Terutama Joseph R. Biden Jr. sebagai Pengerusi APEC bagi tahun 2023.
Tuan Yang Terutama seterusnya menjemput Presiden Peru, Puan Yang Terutama Dina Boluarte selaku Pengerusi APEC AELM akan datang, untuk menyampaikan ucapan. Peru akan menjadi tuan rumah APEC bagi tahun 2024.
Perbincangan dalam Sesi tersebut telah tertumpu kepada kesalinghubungan dan membina ekonomi yang inklusif serta berdaya tahan.
Semasa Sesi Retreat itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah dengan menyatakan bahawa untuk membina ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan, APEC mesti terus menyokong sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang memastikan peluang-peluang yang sama dan persaingan yang adil.

Baginda juga menekankan kepentingan inisiatif integrasi ekonomi serantau seperti Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), the Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) dan Info-Pacific Economic Framework (IPEF) dalam membuka kunci potensi penuh ekonomi APEC untuk kemakmuran yang lebih besar.
Sehubungan itu, Baginda menekankan komitmen berterusan untuk mewujudkan Free Trade Area of the Asia Pacific (FTAAP) sebagai keutamaan dalam APEC.
Baginda seterusnya mengiktiraf peranan APEC sebagai penggerak inovasi serta peluang-peluang dan risiko yang dibawa oleh kebangkitan Kecerdasan Buatan (AI), dan menekankan kepentingan terhadap penggunaan teknologi secara bertanggungjawab serta menggalakkan penyelidikan dan pembangunan untuk memastikan APEC terus menjadi rantau yang inovatif dan berpandangan ke hadapan dalam era digital ini.
Selain itu, Baginda juga menyeru agar penglibatan dengan semua pihak yang berkepentingan, dengan tumpuan kepada belia dan PMKS, dan mempromosikan pembangunan kemahiran digital mereka untuk memupuk inovasi sambil mengguna pakai dasar yang memudahkan akses pasaran antarabangsa yang akan memperkasakan mereka untuk bersaing di peringkat global.
Dalam usaha itu, Baginda mengetengahkan bahawa peranan APEC melalui ECOTECH sebagai inkubator idea adalah penting untuk proses APEC.
Pada mengakhiri titah, Baginda menyampaikan sokongan penuh Negara Brunei Darussalam terhadap Peru sebagai Pengerusi APEC pada tahun 2024.
Pada penghujung AELM itu, APEC Leaders’ 2023 Golden Gate Declaration Creating a Resilient and Sustainable Future for All telah dikeluarkan.
Sebagai sebahagian daripada hasil APEC 2023, Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia telah mengeluarkan satu Kenyataan Bersama sempena the 30th APEC Economic Leaders’ Meeting (AELM).
