Gambar oleh Muiz Matdani & Infofoto
MANILA, 26 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini selamat berangkat tiba di Manila, Republik Filipina bagi Keberangkatan Negara selama dua hari pada 27 dan 28 April ini.
Hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Pengkalan Udara Balagbag, Manila ialah Setiausaha Kewangan, Carlos Garcia Dominguez III, selaku setiausaha pengiring dan Duta Besar Republik Filipina ke Negara Brunei Darussalam, Meynardo LB Montealegre. Juga hadir bagi menjunjung keberangkatan tiba Baginda ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Filipina, Hajah Johariah binti Haji Abdul Wahab.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya melintasi barisan kawalan kehormatan statik sebelum menaiki kenderaan khas menuju ke sebuah hotel ternama di Manila, tempat persemayaman Baginda di sepanjang Keberangkatan Negara. Hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Filipina mula terjalin sejak bulan Januari 1984. Kedua-dua buah negara menikmati kerjasama yang semakin meluas melalui pelbagai kerjasama seperti dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, pertanian, tenaga, pendidikan dan kesihatan.
Republik Filipina juga akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-30 yang akan diadakan pada 29 April ini.



Terdahulu, sebelum berangkat dari Istana Nurul Iman, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Berangkat di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Rimba bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel; Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan.
Berangkat sama dan hadir di Hangar Penerbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria; Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara; menteri-menteri kabinet; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Diraja; timbalan-timbalan menteri; pesuruhjaya Polis Diraja Brunei dan pemangku pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.