Gambar oleh Infofoto
KUALA LUMPUR, 25 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat meninggalkan Kuala Lumpur, Malaysia setelah menghadiri Majlis Santapan Diraja bagi meraikan Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Ke-15, Sultan Muhammad V (Ke-5).
Sebelum berangkat, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Hadir di Pangkalan Tentera Udara Subang (TUDM) bagi menyembahkan selamat berangkat kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, Datuk Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar.
Turut hadir bagi menyembahkan selamat berangkat ialah Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha dan pegawai-pegawai dari Pejabat Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di Kuala Lumpur.




