Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kelmarin telah berkenan mengurniakan bintang-bintang kebesaran Negara Brunei Darussalam kepada 202 penerima.
Berangkat sama ke majlis sempena Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-71 tahun di Istana Nurul Iman itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Majlis pengurniaan bintang kebesaran oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu kelmarin didahului dengan pengurniaan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B) kepada 35 penerima diikuti dengan pengurniaan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Keempat (S.U.B) kepada 14 penerima dan disusuli dengan pengurniaan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) kepada 144 penerima.
Sementara itu, seramai sembilan orang telah dikurniakan Darjah Seri Ugama Islam Negara Brunei Yang Amat Bersinar Darjah Kelima (P.U.B) terdiri daripada para pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Juga berangkat dan hadir dalam majlis itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran-pengiran Cheteria, menteri-menteri kabinet, timbalan-timbalan menteri, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan pengiran-pengiran peranakan serta para pegawai kanan kerajaan.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.