Baginda Sultan berkenan mempengerusikan sidang kemuncak khas

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping akan mempengerusikan bersama sidang kemuncak khas bagi memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog ASEAN-China yang akan berlangsung secara maya pada 22 November ini.

Bagi meraikan ulang tahun itu, para pemimpin ASEAN-China dijangkakan akan memfokuskan perbincangan mengenai peningkatan dan pengukuhan kerjasama bagi masa hadapan.

Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (JPM), hubungan dialog ASEAN-China bermula pada tahun 1991 dan seterusnya, hubungan di antara ASEAN dan China dinaik taraf kepada perkongsian strategik pada 2003.

Pada tahun 2018, para pemimpin telah meluluskan Visi Perkongsian Strategik 2030 yang bertujuan untuk memajukan perkongsian strategik ASEAN-China dan kerjasama rapat dengan lebih lanjut.