Baginda Sultan berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan Singapura

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Dr Ng Eng Hen di Istana Nurul Iman.

Menyertai TYT Dr Ng Eng Hen pada majlis mengadap tersebut ialah Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Negara Brunei Darussalam, TYT Lim Hong Huai dan Timbalan Setiausaha (Dasar), Kementerian Pertahanan, Singapura, Teo Eng Dih.

Turut hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud. TYT Dr Ng Eng Hen dan rombongan berada di Ne-gara Brunei Darussalam bagi lawatan selama tiga hari bermula 5 November lalu, di mana Tuan Yang Terutama telah menyaksikan Eksesais PELICAN antara tentera laut kedua-dua buah negara yang pada tahun ini telah mencapai 40 tahun sejak ia mula diadakan.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura mempunyai hubungan pertahanan rapat dan sudah lama terjalin semenjak 1976, yang semakin berkembang pesat dengan kerjasama dalam pelbagai bentuk pertukaran lawatan, mesyuarat pertahanan dan ketenteraan, eksesais, latihan, pertukaran profesional, dan kehadiran kursus.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan menerima pesambah daripada TYT Dr Eng Hen. -Gambar oleh Muiz Matdani